Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Hasbie Muda menempelak kerajaan persekutuan dalam kegagalan menangani masalah inflasi makanan yang berlaku sekarang ini. Kata beliau, inflasi makanan berlaku akibat kelemahan kerajaan persekutuan dalam mengurus hal ini. Antara kelemahan kerajaan persekutuan adalah memastikan subsidi kepada penternak ayam dapat dibayar tepat pada masanya. Melalui satu pendedahan, hanya RM50 juta sahaja yang telah dibayar daripada peruntukan sebanyak RM729.43 juta yang telah diluluskan sejak 5 Februari yang lalu adalah amat mendukacitakan. Selain itu, para penternak mengadu kelewatan penyaluran subsidi berpunca karenah birokrasi serta tuntutan tidak boleh dibuat secara atas talian. Maka disebabkan hal tersebut, harga ayam yang sepatutnya tidak melebihi RM8.90 sekilogram telah mencecah purata RM9.50 bagi bulan April 2022.
Bekas Pegawai Khas Kepada Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu menambah, kelewatan kerajaan persekutuan menangani isu kekurangan stok serta kenaikan harga ayam menggambarkan seolah-olah Kerajaan tidak mempunyai gambaran yang jelas masalah sebenar yang sedang dihadapi. Sedangkan berdasarkan keadaan semasa, krisis keselamatan makanan serta inflasi makanan sedang menuju ke arah situasi yang semakin membimbangkan.
Hasbie menyeru kerajaan menimbang cadangan daripada pihak industri untuk mengapung harga ayam mengikut harga pasaran semasa dilakukan. Yakni, tidak diikat dengan harga kawalan sekarang yang nyata telah menyebabkan mereka berada dalam kerugian akibat kenaikan harga input makanan ternakan. Natijah pada masa akan datang, emungkinan mereka akan menutup terus operasi perniagaan dan akhirnya pasaran ayam hanya akan dikuasai oleh dua ke tiga pemain besar industri sahaja. Ini boleh mendatangkan monopoli mutlak di kemudian hari dan pastinya campur tangan kerajaan persekutuan akan menjadi lebih sukar.
Beliau menambah agar satu sidang tergempar Parlimen perlu dipanggil dalam masa terdekat bagi membincangkan dan membahaskan segala usul berkaitan inflasi makanan serta krisis keselamatan makanan ini dengan kadar segera.