SelangorToday

KERAJAAN JANGAN ABAI INISIATIF WAWASAN KEMAKMURAN BERSAMA – HASBIE

Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Hasbie Muda mengingatkan kepada Kerajaan Perpaduan bahawa inisiatif yang masih relevan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama perlu diteruskan. Beliau menganggap selagi mana inisiatif yang terdapat dalam dasar WKB itu masih sesuai dan mampu mendatangkan kesan baik kepada rakyat ia harus diteruskan. Katanya, penat lelah penjawat awam dalam membina perancangan dalam WKB wajar dimanfaatkan sebaiknya. Beliau yang juga anggota Dewan Negara menyertai sesi perbahasan Usul Kajian Separuh Penggal RMK12 pada Rabu. Hasbie juga mahu kerajaan melihat adakah peruntukan yang besar dalam RMK12 berbanding RMK10 dan RMK11 itu disebabkan oleh kesinambungan projek yang tergendala dalam RMK10 dan RMK11. Jika ia benar berlaku maka perancangan dan pelaksanaan untuk projek baru dalam RMK12 perlu disusun semula agar ia tidak tergendala.

Hasbie juga yang merupakan Timbalan Ketua Angkatan Muda HARAPAN mempersoalkan kesediaan pihak pembangkang untuk berunding dengan Kerajaan Perpaduan untuk mendapatkan peruntukan. Beliau mengimbau penggal lalu apabila pembangkang ketika itu berbesar hati mengadakan MOU dengan Perdana Menteri ke-9 bagi memastikan kestabilan politik negara seterusnya memperoleh peruntukkan yang mendatangkan manfaat kepada rakyat. Apakah agenda pembangkang sedangkan Perdana Menteri telah pun membuka pintu seluasanya untuk mengadakan perbincangan demi kesenangan rakyat.

Menyentuh soal perumahan pula, Hasbie juga mahu kerajaan menyegerakan pembinaan rumah mampu milik untuk golongan B40 dan M40. Hal ini demikian kerana, data yang diperoleh menunjukkan hampir 75% rumah mampu milik masih belum disiapkan. Ia merupakan usaha yang perlu seiring dengan tekad kerajaan dalam menokhtahkan kemiskinan tegar menjelang hujung tahun ini. Akhirnya Hasbie mahu seluruh kekuatan negara dimobilisasikan dalam penjanaan makanan yang mencukupi. Sepatutnya kerajana negeri juga berperanan dalam memastikan kecukupan makanan di Malaysia memandangkan sektor pertanian merupakan urusan dibawah kerajaan negeri mengikut Perlembagaan Persekutuan. – SelangorToday

Exit mobile version