SelangorToday

KERAJAAN MADANI BANTU PEMBINAAN SEMULA KEDIAMAN MANGSA PUTRA HEIGHTS

Kerajaan MADANI terus menunjukkan komitmen tinggi dalam membela nasib rakyat apabila bertindak pantas membantu mangsa insiden yang berlaku di Putra Heights pada 1 April lalu. Melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), satu pelan tindakan menyeluruh telah digerakkan bagi membina semula dan membaik pulih kediaman yang terjejas.

Insiden yang menimpa kawasan perumahan ini telah menyebabkan sebanyak 219 unit rumah terjejas, di mana 81 unit mengalami kerosakan melebihi 40 peratus, manakala 138 unit lagi mengalami kerosakan kurang daripada 40 peratus. Prihatin dengan kesusahan yang dialami mangsa, Kerajaan MADANI mengambil langkah proaktif melalui penubuhan Tabung Amanah Bencana Perumahan Negara, dengan peruntukan awal sebanyak RM40 juta khusus untuk kerja-kerja pembinaan semula dan baik pulih rumah-rumah tersebut.

Menteri KPKT, YB Tuan Nga Kor Ming, menegaskan bahawa pelaksanaan projek ini adalah satu simbol keprihatinan kerajaan terhadap rakyat yang ditimpa musibah. “Ini bukan sekadar projek pembinaan semula rumah, tetapi usaha membina semula kehidupan serta harapan mereka yang terjejas. Kerajaan MADANI komited memastikan setiap mangsa dapat kembali mendiami kediaman yang selamat dan selesa,” ujarnya.

Tiga kategori kerja telah dikenal pasti:

Kategori 1: Rumah rosak melebihi 40% dan perlu dibina semula, kos siling ditetapkan RM300,000 seunit.

Kategori 2: Rumah rosak melebihi 40% tetapi tidak perlu bina semula, kos siling baik pulih ialah RM150,000.

Kategori 3: Rumah rosak kurang daripada 40%, kos siling baik pulih ialah RM30,000.

Projek ini dilaksanakan dengan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Selangor, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), dan dua pemaju utama yang telah dilantik – Sime Darby dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB). Sime Darby akan memfokuskan kepada pembinaan semula rumah di kawasan Taman Putra Harmoni, manakala SPNB akan melaksanakan kerja pembinaan di kawasan Kampung Kuala Sungai Baru.

Kedua-dua pemaju akan mula memasuki tapak projek pada 1 Mei 2025, dengan keutamaan diberikan kepada unit-unit kediaman dalam radius 100 meter dari kawasan kejadian. Keseluruhan tempoh pembinaan dijangka siap dalam masa 24 bulan.

Sebagai tambahan, Kerajaan MADANI turut menyalurkan RM6 juta lagi melalui KPKT bagi kerja-kerja pemulihan infrastruktur awam seperti jalan, landskap, dan kemudahan awam lain. Ini melibatkan kerjasama Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), Jabatan Landskap Negara (JLN), dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

Dengan keseluruhan kos berjumlah RM46 juta, inisiatif ini membuktikan iltizam Kerajaan MADANI untuk tidak membiarkan rakyat menghadapi kesusahan seorang diri, malah bertindak segera dan terancang dalam memulihkan semula kehidupan masyarakat yang terkesan.

Kerajaan MADANI akan terus komited memastikan kebajikan, kesejahteraan, dan daya huni rakyat dipelihara dalam setiap langkah pemulihan yang diambil.

Exit mobile version