SelangorToday

KERAJAAN MADANI SEDIA KAJI SEMULA 3000 UNDANG-UNDANG LAPUK

Lebih 3,000 undang-undang lapuk perlu dikaji semula bagi memastikan ia kekal relevan dengan peredaran masa.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata terdapat undang-undang di negara ini yang dirangka sebelum zaman kemerdekaan dan kini dilihat tidak lagi menepati keperluan masa kini.


“Contohnya dalam isu dunia digital, undang-undang yang ada sekarang ni, mungkin tidak boleh lagi terpakai atau perlu dipinda agar sesuai dengan situasi yang ada,” katanya.


Beliau berkata demikian keitka ditemui media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), di sini hari ini.


Azalina berkata pihaknya akan menyenaraikan lebih 3,000 undang-undang yang dianggap lapuk untuk perhatian Perdana Menteri sebelum mengambil tindakan lanjut.


“Mungkin kita perlu menyediakan kertas ke Jemaah Menteri, senaraikan undang-undang (lapuk) ini dan mencadangkan penubuhan jawatankuasa Kabinet khas untuk menilai, kerana undang-undang ini melibatkan semua agensi, termasuk kerajaan negeri, kerajaan Pusat dan kerajaan tempatan,” katanya.


Beliau berkata kajian mengenai undang-undang lapuk itu perlu melibatkan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk Jabatan Peguam Negara, badan kehakiman dan universiti yang mempunya fakulti undang-undang dan kepakaran untuk menilai.


Media baru-baru ini melaporkan bahawa Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul telah memanggil Ketua Setiausaha dan penasihat undang-undang setiap kementerian untuk melihat semula akta sedia ada yang mungkin tidak sesuai pada masa ini.


Langkah itu katanya, perlu untuk membincangkan undang-undang yang tidak lagi relevan atau sesuai dengan era digital dan perlu ditambah baik agar seiring dengan peredaran masa. – BERNAMA

Exit mobile version