 
                KUALA LUMPUR, 24 Julai — Kerajaan menegaskan bahawa tiada satu pun cawangan Lembaga Tabung Haji (TH), termasuk di kawasan luar bandar, telah ditutup setakat ini.
Penegasan itu dibuat oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan, semasa sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.
“Tiada cawangan Tabung Haji ditutup. Namun, bagi cawangan yang mencatatkan jumlah transaksi yang sangat rendah, pendekatan baharu telah diperkenalkan melalui inisiatif TH Gerak,” jelas beliau.
Menurut Dr. Zulkifli, TH Gerak ialah kaunter perkhidmatan bergerak yang akan beroperasi dari satu lokasi ke lokasi lain. Jadual pergerakannya akan diumumkan melalui saluran rasmi seperti media sosial dan laman sesawang TH bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat dan menggunakan perkhidmatan yang disediakan.

Beliau menjawab soalan tambahan daripada Datuk Seri Ismail Abd Muttalib (PN–Maran) yang meminta penjelasan berhubung jumlah pejabat TH yang beroperasi serta dakwaan penutupan sebahagian daripadanya.
Setakat ini, terdapat 107 cawangan TH yang masih beroperasi di seluruh negara.
Sementara itu, ketika menjawab isu berkaitan kesukaran sebahagian jemaah haji Malaysia dalam mendaftar data biometrik melalui aplikasi Saudi Visa Bio, Dr. Zulkifli menjelaskan bahawa masalah itu berpunca daripada faktor teknikal seperti ketidakserasian peranti, pengimbasan wajah atau cap jari yang tidak tepat, serta keperluan sistem aplikasi yang perlu ditambah baik.
“Bagi Musim Haji 1446H/2025M, Tabung Haji telah mengambil langkah proaktif bagi membantu jemaah menggunakan aplikasi ini dengan lebih lancar,” katanya.
Tambah beliau, panduan lengkap serta sokongan turut disediakan menerusi portal rasmi TH di www.tabunghaji.gov.my bagi memudahkan proses muat turun dan penggunaan aplikasi tersebut.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            