Tiada kenaikan kadar rebat dan surcaj tarif elektrik kepada semua pengguna di Semenanjung.
Keputusan itu berkuat kuasa mulai 1 Januari hingga 30 Jun 2025.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menerusi kenyataan berkata secara keseluruhannya, jumlah subsidi elektrik bagi tempoh Januari hingga Jun 2025 yang akan dibiayai kerajaan pada kali ini adalah sebanyak RM2.388 bilion.
Menurut PETRA, langkah tersebut menunjukkan komitmen kerajaan memastikan kesejahteraan rakyat, terutamanya dengan melindungi pengguna domestik melalui pelaksanaan subsidi elektrik yang bersasar, tanpa adanya kenaikan tarif elektrik bagi tempoh tersebut.
Pendekatan ini bertujuan mengurangkan komitmen subsidi kerajaan, supaya peruntukan tersebut dapat digunakan untuk disalurkan dalam bentuk bantuan lain kepada rakyat.
Selain itu, kerajaan terus kekal komited untuk memastikan kebajikan golongan berpendapatan rendah terpelihara melalui Program Rebat Elektrik RM40 untuk pengguna elektrik dalam kategori miskin tegar yang berdaftar dan disahkan dalam sistem e-Kasih di seluruh Malaysia pada tahun 2025 dengan peruntukan sebanyak RM55 juta.
Pengguna boleh buat semakan status kelayakan masing-masing di laman sesawang https://semakanrebat.petra.gov.my/apps/public/index.php atau hadir ke kedai utiliti yang berhampiran. -Berita RTM