SelangorToday

KERAJAAN PH SELANGOR TERUSKAN JUALAN MURAH PKPS SEHINGGA SEPTEMBER

Jualan murah barangan asas anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dilanjut hingga 1 September ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelanjutan Jelajah Ehsan Rakyat (JER) bertujuan memberi manfaat kepada penduduk khususnya golongan berpendapatan rendah (B40).

“Seperti sedia maklum, negeri sudah mulakan program jualan murah sejak 1 September lalu, insya-Allah program ini akan berlanjutan hingga 1 September tahun ini iaitu setahun daripada tarikh pelaksanaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Jualan Ehsan Rahmah di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di sini hari ini.

Amirudin menambah JER berjaya memberi penjimatan perbelanjaan kepada penduduk sehingga RM18 juta.

“Sehingga kini kutipan JER mencatatkan jualan RM37 juta. Ini bermakna kita sudah menjimatkan wang rakyat sebanyak RM18 juta.

“Sepatutnya nilai jualan RM55 juta mengambil kira harga biasa tetapi melalui program JER, apabila barangan dimurahkan, penjimatan ini beri manfaat kepada rakyat,” katanya.

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas dan diperluas ke 1,200 lokasi mulai 16 Januari tahun ini.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Orang ramai juga boleh melayari pautan http://linktr.ee/myPKPS dan Facebook PKPS untuk lokasi jualan.

Exit mobile version