[DN Selangor] Kerajaan Negeri Selangor terus memperkukuh jaringan keselamatan sosial dengan memperkenalkan beberapa inisiatif baharu bagi membantu golongan B40 dan warga emas menghadapi tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata, antara langkah utama ialah meneruskan bantuan tunai melalui Program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS), yang disalurkan secara bulanan bagi meringankan beban perbelanjaan barangan keperluan asas.
“Bagi tahun 2026, Kerajaan Negeri akan memperluaskan pelaksanaan program ini menerusi BINGKASAN yang memberi tumpuan khusus kepada warga emas miskin tegar, khususnya mereka yang hidup bersendirian dan terlantar,” katanya ketika menjawab soalan lisan di Sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.
Menurut beliau, selain bantuan sedia ada, kerajaan negeri juga sedang merangka pelaksanaan program BINGKAS+ yang lebih menyeluruh dan bersasar.
“Inisiatif ini melibatkan pewujudan kuota khas bagi membantu anak-anak yang menjaga ibu bapa warga emas, termasuk sokongan untuk pembelian keperluan peribadi dan penjagaan harian,” jelasnya.
Tambah Anfaal, BINGKAS+ turut merangkumi projek rintis pemerkasaan penerima bantuan, dengan pendekatan lebih strategik melalui pemprofilan individu.
“Kerajaan Negeri akan mengenal pasti keperluan setiap penerima, menganalisis potensi mereka dan memadankan dengan bidang serta inisiatif yang sesuai bagi meningkatkan taraf sosio-ekonomi,” katanya.
Beliau memberi contoh, penerima yang dikenal pasti berminat dalam sektor pertanian akan dipadankan dengan program berkaitan agar mereka berupaya menjana pendapatan sendiri.
Langkah ini dilihat sebagai pendekatan jangka panjang kerajaan negeri bukan sahaja dalam membantu meringankan beban kos sara hidup, malah memperkasa penerima bantuan untuk keluar daripada kitaran kemiskinan.

