SelangorToday

KERAJAAN SELANGOR SEDIA JADIKAN RUMAH KELUARGA SIDEK SEBAGAI RUMAH WARISAN

Kerajaan negeri Selangor bercadang untuk menjadikan rumah keluarga Datuk Mohd Sidek Abdullah Kamar di Kanchong Darat, Banting, Kuala Langat sebagai rumah warisan.

Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Borhan Aman Shah berkata, bagi tujuan itu pihaknya akan berbincang dengan Datuk Dr Mohmed Misbun Mohd Sidek sebagai langkah memastikan khazanah warisan itu dipelihara bagi tatapan generasi akan datang.

Ujarnya, kerajaan negeri pada dasarnya bersetuju menjadikan rumah keluarga Allahyarham Datuk Mohd Sidek di Kanchong Darat, Banting untuk dijadikan sebagai rumah warisan kebangsaan.

“Ia bertujuan untuk menjadikan rumah ini sebagai salah satu tarikan pelancongan dan pemeliharaan warisan, saya berharap ini mendapat persetujuan dari pihak keluarga Allahyarham,” katanya.

Borhan ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Pameran Anak-Anak Sidek: Legenda Badminton Negara di Auditorium Daeng Chelak, Muzium Sultan Alam Shah di Seksyen 14 di sini pada Selasa.

Sementara itu, Misbun ketika ditemui berkata, usaha menjadikan rumah keluarganya sebagai rumah warisan masih dalam perbincangan namun berharap usaha tersebut dapat berjalan dengan lancar.

“Itu satu cadangan yang bagus kerana dahulu kita ada rasa begitu kerana di situ adalah satu tempat kita mula bermain (badminton) dan menjadi satu kebangsaan.

“Apabila ia dicadangkan untuk menjadi sebagai rumah warisan ia (rumah itu) akan dapat kekal lebih lama dan lebih ramai akan tahu untuk membuat lawatan dan kunjungan (ke rumah itu),” katanya. – Sinar Harian

Exit mobile version