SelangorToday

KERAJAAN SELANGOR  SEDIA PERUNTUKAN RM108 JUTA UNTUK BINGKAS

Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) secara rasmi dilancarkan pada Jelajah Selangor Penyayang di Dataran Pantai Morib di sini hari ini. Dato’ Menteri Besar berkata ia membabitkan peruntukan RM108 juta dan 30,000 keluarga bakal menikmati inisiatif itu mulai bulan depan.

“Bingkas adalah program pengukuhan Kasih Ibu Smart Selangor (Kiss) yang sebelum ini dinikmati 21,000 peserta dan kini tambahan 9,000 lagi penerima dipilih ke dalam program ini. Jadi, saya minta peserta Bingkas yang secara automatik diserapkan daripada Kiss supaya kemas kini maklumat mereka sehingga September ini dengan Selgate selaku pengendali program,” katanya

Dato Menteri Besar Selangor ketika merasmikan BINGKAS di Kuala langat

Beliau berkata Bingkas adalah program yang membabitkan peruntukan yang besar walaupun ia hanya bermula bulan hadapan.

“Bulan-bulan sebelum ini Kiss dilaksana secara terus sehingga Jun tetapi Julai nanti, ia dinaik taraf kepada Bingkas iaitu RM200 sebulan kepada RM300 sebulan dan peserta juga ditambah,” katanya.

Justeru, katanya secara keseluruhan setiap keluarga bakal menerima bantuan RM3,600 setahun berbanding hanya RM2,400 sebelum ini.

Bingkas adalah antara inisiatif terkandung dalam Iltizam Selangor Penyayang bagi menggantikan Insiatif Peduli Rakyat bagi membantu kebajikan lebih ramai rakyat negeri ini. Skim mengetengahkan konteks kepedulian, penyayang dan semangat kemanusiaan itu turut menambah baik inisiatif kesihatan termasuk memperluas saringan kepada golongan lelaki bagi mengesan barah kolon.

Exit mobile version