Kerajaan dianggarkan terpaksa menanggung kos rawatan RM150,892.11 untuk kes EVALI atau kecederaan paru-paru berkaitan vape atau e-rokok bagi setiap pesakit yang dimasukkan ke hospital selama 12 hari.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata jika tiada langkah kawalan diambil terhadap penggunaan rokok elektronik atau vape, kos rawatan ini dijangka melonjak sehingga RM369 juta setahun menjelang 2030.”Bermula 2019 sehingga 30 September lalu, sebanyak 41 kes EVALI dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM).
“Selain EVALI, notifikasi kejadian akibat pendedahan kepada cecair rokok elektronik atau vape yang diterima oleh Pusat Racun Negara mencatatkan 111 kes antara 2015 hingga 2023,” katanya melalui jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) yang meminta menteri kesihatan menyatakan statistik penyakit baharu disebabkan penggunaan rokok elektronik dan kos rawatan yang terpaksa ditanggung Kerajaan untuk merawat kes EVALI ini sejak 2020.
EVALI adalah satu penyakit berkaitan kerosakan pada dinding salur pernafasan dalam paru-paru akibat penggunaan rokok elektronik.
Pada masa sama, Dr Dzulkefly berkata, kerajaan menguatkuasakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) sejak 1 Oktober lalu bertujuan melindungi kesihatan awam dengan menguatkuasakan undang-undang yang lebih ketat.
Beliau berkata, ia meliputi larangan pengiklanan, promosi dan tajaan produk merokok, larangan penjualan serta penggunaan produk merokok termasuk rokok elektronik dan vape dalam kalangan orang belum dewasa (OBD).”Pelaksanaan akta ini dapat melindungi golongan kanak-kanak dan remaja daripada terpengaruh dan terjebak dengan tabiat merokok.
“Seterusnya dapat mengurangkan risiko penyakit yang berkaitan dengan penggunaan produk merokok, selain dapat mengurangkan kos rawatan yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan,” katanya.- Berita Harian