Kerajaan telah mengaktifkan bilik gerakan khusus untuk wabak cacar monyet atau mpox di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan bagi memantau dan menghindari penularan wabak itu ke negara ini, bermula 16 Ogos lepas.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata bilik gerakan itu berperanan memantau situasi wabak berkenaan di dalam dan luar negara, serta berkolaborasi dan menyelaras langkah pencegahan dan kawalan bersama-sama negara ASEAN.
“Kita sememangnya sentiasa memantau perkembangan wabak tersebut secara aktif. Selain itu kita juga melaksanakan saringan suhu di semua pintu masuk negara. Sebenarnya saringan suhu ini memang kita telah laksanakan sejak penularan COVID-19 lagi dan diteruskan dari masa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Hospital Dungun, Klinik Kesihatan Kota Putera dan Klinik Kesihatan Paya Datu di Lobi Hospital Dungun, di sini hari ini.
Dr Dzulkefly berkata sejak 16 Ogos hingga Khamis lepas (22 Ogos) sebanyak 1.8 juta orang pengembara telah disaring suhu di pintu-pintu masuk negara sebagai langkah pencegahan penularan wabak itu.
Selain itu katanya sebagai persediaan, sebanyak 13 makmal di seluruh negara mampu menjalankan ujian pengesanan wabak berkenaan selain Malaysia bekerjasama dengan negara-negara ASEAN dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam aspek perkongsian maklumat dan perolehan vaksin serta ubat antiviral.
Dr Dzulkefly berkata meskipun tiada kes baharu mpox direkodkan sejak November 2023, namun rakyat diingatkan supaya tidak terlalu selesa dan sentiasa berjaga-jaga dengan ancaman wabak tersebut, termasuk segera mendapatkan pemeriksaan sekiranya bergejala.
WHO sebelum ini mengisytiharkan mpox sebagai kecemasan kesihatan awam global buat kali kedua dalam tempoh dua tahun berikutan wabak jangkitan virus tersebut di Republik Demokratik Congo yang telah merebak ke negara jiran.
Dalam pada itu, Dr Dzulkefly berkata kementerian akan membawa cadangan daripada Kumpulan Hartal Doktor Kontrak (HDK) berhubung kadar elaun tugas atas panggilan atau “on call” kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dipertimbangkan.
Menurutnya kementerian turut bersepakat dan berpendapat bahawa elaun itu perlu dinaikkan, selari dengan pengumuman Perdana Menteri mengenai kenaikan gaji penjawat awam.
“Saya sangat menyokong dan pastinya saya akan mengemukakan syor ini kepada Perdana Menteri supaya kenaikan elaun ini dipertimbangkan,” katanya.
— BERNAMA