SelangorToday

KERJASAMA KERAJAAN PERPADUAN KUKUH, TAK GANGGU AGENDA REFORMASI – PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin dapat meneruskan agenda reformasi yang cuba dibawanya selepas mengambil alih pentadbiran Putrajaya pada November 2022, meskipun Kerajaan Perpaduan diterajuinya dibentuk gabungan beberapa parti politik berbeza.

Malah, Perdana Menteri berkata, persefahaman kukuh dalam kalangan parti yang membarisi Kerajaan Perpaduan juga membolehkan lebih banyak agenda reformasi dilaksanakan kerajaan.

Beliau berkata, ini termasuklah dalam soal memerangi rasuah, tadbir urus yang baik serta agenda reformasi dalam pendidikan.

“Pujian harus diberikan kepada parti yang saya terajui dan juga parti gabungan termasuk dari Sabah dan juga Sarawak.

“Ingin saya katakan sudah setahun setengah (saya menerajui kerajaan), tiada seorang pun daripada mereka (rakan daripada parti gabungan) datang kepada saya dan berkata – Anwar, perlahan sikit lawan rasuah atau kami tak sokong pembaharuan ini… tiada (seorang pun).

“Sebab itulah saya boleh lakukannya dengan penuh semangat serta yakin, dan saya percaya Malaysia boleh teruskan lakukan pembaharuan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab selepas menyampaikan syarahan umum di hadapan kira-kira 300 hadirin di Perpustakaan Kebangsaan Qatar di Universiti Hamad Bin Khalifa, di sini. – Berita Harian

Exit mobile version