SelangorToday

Kes Buli Sekolah, IPT Meningkat: Tindakan Holistik Diperlukan

KUALA LUMPUR, 15 Ogos — Kes buli di sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) menunjukkan peningkatan ketara dalam tempoh tiga tahun, dengan 6,208 kes direkodkan sehingga Oktober 2024 berbanding 4,994 kes pada 2023 dan hanya 326 kes pada 2021.

Timbalan Pengerusi Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat Amanah Nasional, Shamsul Ma’arif Ismail berkata, insiden itu bukan lagi isu terpencil dan memerlukan penyelesaian menyeluruh melibatkan aspek pendidikan, penguatkuasaan undang-undang dan pembentukan sahsiah pelajar.

Beliau berkata, kes buli memberi kesan fizikal, mental dan emosi kepada mangsa, selain melanggar nilai moral, etika sosial dan ajaran agama.

“Pendidikan sivik, moral dan keagamaan perlu diperkukuh, manakala nilai hormat, empati dan belas kasihan mesti dipupuk sejak awal bagi mencegah budaya buli,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kes buli yang mengakibatkan kematian seperti membabitkan pegawai kadet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Zulfarhan Osman Zulkarnain pada 2017 dan pelajar tingkatan satu di Sabah, Zara Qairina, perlu menjadi pengajaran kepada semua pihak.

Shamsul berkata, perbuatan buli boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pendidikan 1996, Akta Kanak-Kanak 2001, Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi kes buli siber.

Beliau menggesa sekolah dan IPT menyediakan saluran aduan yang selamat, khidmat kaunseling, intervensi psikososial dan tindakan disiplin tegas bagi melindungi keselamatan pelajar.

Exit mobile version