SelangorToday

KES DEMAM DENGGI SELANGOR MENURUN, AKAN TERUS PERGIAT USAHA -EXCO

Kes demam denggi di Selangor mencatatkan penurunan 68.3 peratus iaitu 1,778 kes sehingga Minggu Epid 3/2025 berbanding 5,612 kes tempoh sama tahun lalu.

EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berkata secara purata kes demam denggi tahun lalu merekodkan penurunan 1.2 peratus iaitu 60,354 kes berbanding 61,080 kes pada 2023.

“Hal ini menunjukkan perkembangan positif hasil pelaksanaan program pengawalan dan pencegahan termasuk kempen berterusan Kerajaan Selangor dalam mengawal kes demam denggi.

“Kerajaan Negeri termasuk beberapa agensi dan badan bukan kerajaan sentiasa komited meneruskan usaha membasmi kes denggi di peringkat komuniti di Selangor,” katanya menerusi kenyataan.

Bagi memastikan kes itu terkawal, Jamaliah berkata pihaknya turut menganjurkan Program Kembara Kesedaran Denggi 2025 di KSL Esplanade Mall, Klang pada 23 Januari lalu.

Jelasnya, program itu bertujuan mengukuhkan kerjasama antara agensi kerajaan dan bukan kerajaan serta masyarakat dalam usaha menangani kes demam denggi.

Pelbagai pengisian menarik diadakan sepanjang program antaranya Forum: Mitos dan Fakta Mengenai Penyakit Demam Denggi”, sesi perkongsian pihak berkuasa tempatan dan pejabat kesihatan, mencari harta karun (treasure hunt) serta pameran.

“Penduduk di Selangor disaran sentiasa mengambil langkah pencegahan dengan menjaga kebersihan persekitaran dan meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit menghapuskan tempat pembiakan nyamuk,” katanya. -SelangorKini

Exit mobile version