SHAH ALAM, 9 Februari 2026 — Kerajaan Negeri Selangor menegaskan komitmen berterusan dalam memerangi penyakit Tuberkulosis (Tibi) apabila meneruskan pemberian insentif rawatan sebanyak RM800 kepada pesakit tahun ini, khususnya bagi membantu golongan berpendapatan rendah meneruskan rawatan sehingga sembuh sepenuhnya.
Melalui pemantauan rapi Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), situasi semasa tibi di negeri ini dilaporkan berada dalam keadaan terkawal. Bagi tempoh Minggu Epidemiologi (ME) 1 hingga 4 tahun 2026, sebanyak 424 kes tibi direkodkan, menurun sebanyak 19 kes berbanding 443 kes dalam tempoh sama tahun lalu.
EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Y.B. Puan Jamaliah binti Jamaluddin, berkata penerusan insentif rawatan tibi itu mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam memastikan pesakit, khususnya daripada kumpulan B40, tidak tercicir rawatan akibat kekangan kewangan.
Menurut beliau, pada tahun lalu seramai 628 pesakit telah menerima manfaat melalui insentif berkenaan, sekali gus membantu meringankan beban kewangan sepanjang tempoh rawatan yang memerlukan pematuhan konsisten.
“Kerajaan Negeri akan terus memastikan akses rawatan tibi yang menyeluruh dan berkesan demi melindungi kesihatan awam,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Setakat ini, empat wabak tibi aktif berskala kecil dikenal pasti dan sedang dipantau oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD). Kesemua wabak tersebut dilaporkan terkawal sepenuhnya, tidak melibatkan penularan meluas kepada masyarakat umum serta tidak merekodkan sebarang kematian.
Langkah kawalan yang dilaksanakan termasuk pengesanan kes secara aktif di lokaliti terlibat, pengasingan serta rawatan pesakit di fasiliti kesihatan, selain pemantauan pematuhan rawatan sehingga tamat tempoh rawatan. Hasil tindakan pantas dan bersepadu ini berjaya meminimumkan risiko penyebaran lanjut.
Orang ramai turut diingatkan bahawa tibi adalah penyakit yang boleh dicegah dan sembuh sepenuhnya jika dikesan awal serta dirawat mengikut prosedur ditetapkan. Justeru, masyarakat dinasihatkan agar tidak panik, sebaliknya peka terhadap gejala seperti batuk dan demam berpanjangan melebihi dua minggu, susut berat badan serta peluh malam.
Kerajaan Negeri Selangor akan terus memperkukuh program pencegahan, saringan dan rawatan tibi secara berfokus, inklusif dan berterusan demi memastikan kesejahteraan kesihatan rakyat sentiasa terpelihara.
Pesakit yang layak boleh memohon insentif rawatan tibi melalui pautan rasmi di
https://bantuansihat.selangor.gov.my/�