SelangorToday

KESAN AGAMAWAN  JATUH HUKUM SECARA MELULU AMAT BAHAYA KEPADA MASYARAKAT – IR.IZHAM

Pengerusi AMANAH Selangor, Ir.Izham Hashim menempelak sikap agamawan tertentu yang menjatuh hukum tanpa menyemak keseluruhan konteks soalan yang diajukan. Melalui satu kenyataan hari ini, beliau berkata sepatutnya agamawan yang dimaksudkan, Ustaz Azhar Idrus sepatutnya boleh sahaja mengambil pendekatan untuk menyemak dahulu ucapan berkaitan soalan yang diajukan, baru beliau boleh memberi maklum balas, sebaliknya agamawan tersebut mengambil sikap menyesatkan dan mendakwa ia sebagai jahil. Hal ini demikian kerana, kesan hukuman melulu ini kata Izham bukan sahaja tempias kepada kanak-kanak yang mendengarnya, malah boleh menimbulkan polemik ke dalam masyarakat.

Izham yang juga Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor berkata, sikap terus menghukum ini tidak seharusnya ada dalam kelompok agamawan. Beliau risau akan perkara tersebut berlaku dalam masyarakat yang akan menjadi barah serta boleh mencetuskan api keagamaan. Dipercayai kenyataan beliau memberi maklum balas terhadap tindakan Ustaz Azhar Idrus yang menjatuh hukum sesat dan jahil kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim ketika PM ke-10 itu mengulas kisah ashabul kahfi. Tambah Izham lagi, menghukum seseorang kerana adanya perbezaan yang dibenarkan oleh syarak merupakan sebahagian daripada budaya takfiri.

Ketua AMANAH Pandan itu menggesa kerajaan menyekat mana-mana agamawan yang mencetuskan pemikiran tersebut. Tambah beliau, bukankah elok jika api yang kecil ini dipadam sebelum merebak menjadi besar dan bahaya. Kata beliau lagi, perkara yang bukan qat’i yakni wujudnya khilaf di kalangan ulamak tidak boleh dijadikan asas kepada perbalahan atau perpecahan di kalangan umat. – SelangorToday

Exit mobile version