Pengamatan golongan yang paling dekat dengan generasi muda ialah golongan guru. Maka perihal generasi muda perlu mengambil kira pandangan kelompok terbesar dalam penjawat awam ini. Disebabkan itu Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia(NUTP) mahu Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 atau RUU Generasi Penamat(GEG) dibentang dan diluluskan segera.
Bercakap kepada media, Presiden NUTP, Aminuddin Awang menjelaskan daripada pengamatan mereka dari kelompok pendidik di sekolah, terdapat murid sekolah rendah mula terjebak dengan tabiat merokok terutamanya menggunakan rokok elektronik atau vape. Tambah beliau, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) pada tahun 2022 mendapati seramai 307,109 remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun telah menggunakan vape.
Jumlah yang besar dan membimbangkan ini mendorong NUTP untuk memohon agar kerajaan menyegerakan penguatkuasaan RUU GEG ini. Tambah beliau lagi, NUTP mahu memastikan pelajar sekolah tidak mendapat akses yang mudah terhadap produk merokok yang mengandungi nikotin dan menyebabkan ketagihan sama seperti dadah. Kesannya, perkembangan otak dan emosi kanak-kanak terjejas seterusnya mengganggu proses pembelajaran dan produktiviti pelajar yang menyumbang kepada masalah disiplin di sekolah. – SelangorToday