SHAH ALAM, 26 Mei 2025– Kerajaan Negeri Selangor menegaskan bahawa isu kesihatan awam, khususnya melibatkan generasi muda, menjadi keutamaan dalam pertimbangan untuk melaksanakan larangan penjualan rokok elektronik atau vape di negeri ini.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, keputusan muktamad berhubung larangan tersebut dijangka diumumkan dalam tempoh terdekat selepas pembentangan kertas cadangan oleh EXCO Kesihatan Awam, Jamaliah Jamaluddin, pada Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) minggu ini atau minggu hadapan.
“Kita sedang meneliti keseluruhan aspek berdasarkan dapatan fakta serta input daripada pihak berkaitan, namun dari awal lagi pendirian kita jelas – kesihatan awam adalah pertimbangan utama, lebih-lebih lagi melibatkan masa depan generasi akan datang,” katanya.

Menurut Amirudin, kerajaan negeri juga turut mengambil kira pandangan dan permohonan daripada pengusaha vape, memandangkan majoriti perniagaan tersebut beroperasi di Selangor, namun menegaskan bahawa sebarang keputusan akan berlandaskan kepentingan rakyat secara menyeluruh.
“Saya tunggu pembentangan kertas EXCO Kesihatan. Kita akan buat keputusan secara holistik, seimbang antara kepentingan awam dan pandangan industri, tetapi keutamaan kita tetap kesihatan rakyat,” katanya kepada media selepas sesi Refleksi terhadap Ekonomi Global: Perspektif al-Quran bersama Nouman Ali Khan malam tadi.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri Selangor telah mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan tegas dengan merampas dan menyita iklan berkaitan produk vape di semua medium fizikal termasuk papan iklan digital.
Tindakan itu selaras dengan peruntukan Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023 (Akta 852), yang memberi fokus terhadap perlindungan golongan muda daripada bahaya penggunaan vape yang semakin membimbangkan.
Untuk rekod, Terengganu dan Johor telah mengambil langkah lebih awal dengan melaksanakan larangan penjualan vape — Terengganu akan menguatkuasakan larangan bermula 1 Ogos ini, manakala Johor telah pun melaksanakannya sejak 2016.