SHAH ALAM — Pakatan Harapan (PH) Selangor menggesa Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meletakkan jawatan sebagai Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor bagi mengelakkan krisis dan ketidakstabilan politik pembangkang di negeri itu.
Ketua Penerangan PH Selangor, YB Abbas Azmi, berkata pengunduran Azmin sebagai Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) dan Pengerusi PN Selangor yang berkuat kuasa 1 Januari 2026 membuktikan wujudnya keretakan kepimpinan serius dalam gabungan tersebut.
Menurut beliau, krisis dalaman PN yang bermula di Perlis susulan pertelagahan antara PAS dan BERSATU kini merebak ke peringkat nasional dan negeri, termasuk Selangor.
“Krisis ini turut menyaksikan Pengerusi PN, Tan Sri Mahiaddin Md Yassin, meletakkan jawatan selepas menerima tekanan dan sindiran daripada pimpinan PAS pasca pelantikan Menteri Besar Perlis daripada BERSATU,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Abbas menegaskan tindakan Azmin berundur daripada jawatan tertinggi PN di Selangor secara langsung menjejaskan keupayaannya untuk terus memimpin blok pembangkang di Dewan Negeri Selangor yang kini dianggotai sepenuhnya oleh PAS dan BERSATU.
“Situasi di mana Azmin tidak lagi memegang jawatan kepimpinan utama dalam PN Selangor tetapi kekal sebagai Ketua Pembangkang akan mewujudkan ketempangan struktur politik pembangkang negeri dan berpotensi mencetuskan ketidakstabilan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa jawatan Ketua Pembangkang bukan sekadar peranan semak dan imbang, sebaliknya setara dengan anggota pentadbiran negeri serta memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan dan kelancaran pembangunan Selangor.
“Dengan elaun Ketua Pembangkang yang mencecah sekitar RM11,000, jawatan ini menuntut legitimasi politik dan sokongan kepimpinan yang jelas dalam kalangan blok pembangkang,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Abbas yang juga Ahli Dewan Negeri Seri Serdang berpandangan Azmin, selaku ADN Hulu Klang, wajar menyerahkan jawatan Ketua Pembangkang kepada wakil pembangkang lain yang lebih selari dengan struktur kepimpinan parti-parti dalam PN Selangor.
“Langkah ini penting demi menjaga kestabilan politik negeri dan memastikan fungsi pembangkang dapat dilaksanakan dengan berkesan serta berintegriti,” tegas beliau.