KUALA LUMPUR, 29 Dis — Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi, menggesa Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang supaya mengambil alih kepimpinan Perikatan Nasional (PN) susulan krisis politik yang berlaku di Perlis, yang menurutnya berpunca daripada kegagalan rakan parti mengawal Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka sendiri.
Dalam satu kenyataan hari ini, Afnan menegaskan bahawa fakta menunjukkan terdapat ADUN daripada parti rakan PN yang menandatangani Akuan Bersumpah (SD) menolak pencalonan Datuk Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar Perlis, namun tiada tindakan tegas diambil terhadap mereka.
“Bila ditanya, dijawab tiada arahan untuk ADUN menandatangani SD. Tetapi dalam masa yang sama, tiada pula tindakan diambil. Bahkan, nama mereka dihantar untuk dicalonkan sebagai Menteri Besar. Ini satu percanggahan yang jelas,” katanya.
Menurut Afnan, kegagalan memberi arahan serta kegagalan mengambil tindakan membawa maksud yang sama, iaitu merestui perbuatan tersebut.
“Tak bagi arahan, tapi tak ambil tindakan. Kedua-duanya membawa maksud merestui tindakan. Kawan yang tidak mampu mengawal anak buah adalah kawan yang lemah. Kawan yang menjatuhkan kawan, ini kawan yang khianat,” tegasnya.

Beliau turut membandingkan situasi itu dengan tindakan PAS sebelum ini yang bertindak tegas terhadap tiga bekas ADUN parti itu apabila didapati melanggar disiplin parti.
Sehubungan itu, Afnan berpandangan bahawa perkembangan di Perlis membuktikan PAS lebih layak untuk mengetuai PN.
“Dengan apa yang berlaku di Perlis ini, layak sangatlah PAS mengambil alih mengetuai PN. PAS ‘take over’ PN. Presiden PAS sebagai Pengerusi PN,” katanya.
Beliau turut mencadangkan penjenamaan semula gabungan itu sebagai PN 2.0 yang digabungkan dengan Muafakat Nasional (MN) 2.0, sambil mengingatkan bahawa kepimpinan perlu dipimpin oleh tokoh yang berprinsip dan tegas.
“Yang khianat tak boleh dibuat kawan. Yang lemah tak boleh jadi ketua. Yang khianat, sila berambus. Yang lemah, sila turun,” katanya lagi.