Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan Barisan Nasional (BN) tidak pernah ketandusan pemimpin, malah mempunyai banyak pilihan untuk diketengahkan sebagai calon untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Justeru, beliau menyifatkan Ketua Pemuda UMNO Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah yang dipilih sebagai calon mewakili Barisan Nasional (BN) dalam PRK itu sebagai yang terbaik dalam kalangan ramai pemimpin parti yang berkaliber.
“Saudara Syed Hussien ini kita lihat seorang calon berwibawa dan boleh kita ketengahkan untuk tempoh 14 hingga 28 September ini.
“Dalam banyak calon, memang kita ada yang terbaik semua, tetapi kita memilih saudara Syed Hussien dan berharap pengundi DUN Mahkota menerimanya.”Kita memilihnya kerana mahu memberi ruang dan peluang untuk meneruskan perjuangan dan perkhidmatan yang dibuat Sharifah Azizah (Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain) sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN.
Onn Hafiz yang juga Menteri Besar Johor berkata, Syed Hussien sudah lama berkecimpung dalam arena politik, sekali gus memberi peluang besar kepada BN untuk mempertahankan kerusi DUN terbabit.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan jentera BN supaya berkempen secara berhemah para PRK itu nanti dan tidak sesekali melayan sebarang provokasi.
“Elak jprovokasi sepanjang kempen dan lakukan dengan tertib. Saya yakin bangsa Johor tidak mudah termakan fitnah serta tohmahan dan pengundi di DUN Mahkota juga bijak untuk membuat penilaian,” katanya.Beliau memkalumkan, seluruh jentera membabitkan 25 bahagian di Johor sudah digerakkan untuk membantu calon BN, selain menggerakkan jentera untuk Pusat Daerah Mengundi (PDM) dalam DUN Mahkota. – Berita Harian