Sejak menyertai penubuhan Malaysia pada tahun 1963, Sabah yang dulunya dikenali sebagai Borneo Utara ini mengalami pasang surut politik negeri. Boleh dilihat dalam tempoh 30 pertama kewujudannya, Sabah sering mengalami perubahan kerajaan yang memerintah negeri di bawah bayu itu.
Bermula dengan kerjasama UPKO dan USNO, berubah kepada dominasi USNO, beralih kepada BERJAYA dan jatuh ke tangan PBS. Hanya selepas itu, penguasaan BN terhadap Sabah melalui aksi lompatan ADUN PBS ke UMNO Sabah telah mengekalkan kestabilan politik negeri lebih 20 tahun seterusnya. Namun tsunami politik 2018 menumbangkan BN lalu menaikkan Parti Warisan Sabah seterusnya bertukar tangan pada PRN 2020 di tangan GRS.

Justeru, keputusan rakyat Sabah sejak 2018 itu memperlihatkan perubahan sikap dan pemikiran rakyat Sabah yang telah terbuka dan semakin matang menilai kepimpinan negeri. Keputusan rakyat Sabah sejak 90an, rakyat Sabah terbuka meraikan kemasukan parti-parti semenanjung ke Sabah atas faktor menyedari hakikat bahawa parti tempatan hanya memainkan isu ‘sabahan’ demi mengekalkan kuasa semata-mata.
AMANAH menghulurkan salam kerjasama
Maka keterbukaan itu menyebabkan Parti AMANAH Negara yang telah bernuansa selama satu dekad itu ingin mencuba melahirkan wakil rakyat sulungnya di Sabah sempena PRN. Persoalannya, berjayakah AMANAH merealisasikan impian mereka? Sesuaikah citra parti AMANAH bertapak di Sabah? Apakah perlunya wakil rakyat AMANAH perlu ada di DUN Sabah?
Parti AMANAH Negara sudah dua kali menyertai Pilihan Raya Umum. Kedua-dua penyertaan itu berjaya menobatkan AMANAH sebagai anggota parti pemerintah bersama Pakatan Harapan. Dalam tempoh itu, AMANAH yang membawa gagasan Islam Rahmatan Lil Alamin sebagai antara paksi parti, telah berjaya memperlihatkan kesungguhan mereka menaikkan syiar Islam mengikut lunas perundangan negara melalui peranan mereka sebagai Menteri Hal Ehwal Agama, Menteri Pertahanan dan Menteri Wilayah. Selain itu, politik rahmah menjadi teras pembawakan AMANAH berpolitik dan mentadbir berjaya menyediakan inisiatif dan dasar yang mengangkat kehidupan rakyat baik di Kementerian Pertanian, Kesihatan dan Perdagangan Dalam Negeri.
Pendekatan AMANAH yang memilih jalur sederhana untuk memperkasakan syariat Islam dilihat bersesuaian dengan aspirasi rakyat Sabah yang pelbagai kaum dan etnik. Perjuangan AMANAH dalam membela rakyat merentas agama dan kaum membolehkan peranan AMANAH dirasai oleh semua pihak di Sabah. Malah pemerkasaan syariat melalui strategi yang progresif oleh AMANAH akan melimpahkah manfaat atau kebaikan Islam itu sendiri buat semua kelompok.
Mengapa AMANAH perlu ke Sabah?
Rakyat Sabah diyakini bersedia untuk memasuki fasa politik baru yang meninggalkan jauh politik bersifat populis dan konservatif. AMANAH duduk ditengah-tengah politik ini. Memilih jalan untuk mengamalkan politik rahmah yang mengutamakan manfaat buat rakyat dan membawa mesej keharmonian sejagat sesuai dan relevan dengan kehendak rakyat Sabah.
Satu lagi yang menjadi asas penting, jika AMANAH berada di DUN Sabah, AMANAH mampu menjadi jambatan antara Sabah dan Semenanjung, Negeri dan Persekutuan dalam hal yang melibatkan isu kepentingan rakyat khususnya melibatkan pemerkasaan syariat Islam untuk umat Islam di Sabah. AMANAH mampu menjadi pemudah cara antara kelompok yang sering bertelagah atau merasa sangka buruk antara satu sama lain sejak sentimen anti-Islam atau pro-kristian dimainkan sejak era kepimpinan Sabah tahun 80an. Apa yang jelas, AMANAH bukan beraksi untuk menggugat keberadaan mana-mana pihak, sebaliknya merangkul pihak yang ada duduk dibawah panji membangunkan Sabah.
Soal etnik, agama mahupun ‘federalisme’ sering menjadi bahan permainan ahli politik di Sabah. Justeru AMANAH berada atas kapasiti yang sederhana dalam menangani sentimen ini memandangkan sentimen ini terbukti telah menterkebalakangkan Sabah untuk bangkit dan maju. Sabah terperangkap dengan permainan ini menyebabkan AMANAH menghulurkan tangan kesederhanaan.
Ada parti politik telah menawarkan untuk mempertahankan hak Sabah sejurus selepas pelancaran Jentera Pilihan Rayanya. Namun aksinya sebelum ini jelas bersifat rasis, berjalur keras dan tidak sesuai dengan politik di Sabah. Tawaran itu hanya menjadi modal demi kemenangan mereka dalam PRN nanti. Berbanding AMANAH, melalui tekad Presidennya, Hj Mohamad Sabu semasa berada di Sabah, AMANAH datang ke Sabah untuk membawa gagasan Islam Rahmat Untuk Semua. Dengan pembawakan yang sederhana, berpusatkan kesejahteraan rakyat dan kestabilan politik sebagai teras, AMANAH menghulur salam kerjasama kepada rakyat Sabah. Semua tekad AMANAH ini terpapar dalam aksi AMANAH ketika menghadapi cabaran semasa Langkah Sheraton mahupun pembentukan Kerajaan Perpaduan.
Oleh itu, rakyat Sabah seharusnya mengambil peluang untuk menilai sejauh mana wajarnya menghantar wakil AMANAH di DUN Sabah. Hal demikian kerana, peluang dalam PRN Sabah bukan harus digunakan sebagai aksi politik semata-mata tetapi harus menjadi permulaan kepada politik rahmah yang lebih berhemah dan harmoni dalam arus masyarakat Sabah. Memberi peluang kepada AMANAH tidak bermaksud memberi sepenuh ruang kepada pengaruh semenanjung, tetapi atas kepimpinan anak jati Sabah sendiri dalam AMANAH Sabah meletakkan Sabah sebagai negeri perhatian persekutuan.
“Sabah bukan pinggiran politik nasional, tetapi nadi kepada Malaysia yang lebih adil dan rahmah”
Oleh:Cikgu Syazmir HN