
Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Wilayah Persekutuan tampil mengkritik keras sikap pemimpin pembangkang, khususnya Tuan Ibrahim Tuan Man, yang didakwa baru ‘tersedar’ terhadap isu pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru.
Dalam satu kenyataan lantang, Pemuda AMANAH menyindir bekas menteri tersebut kerana hanya kini menunjukkan keprihatinan terhadap nasib penduduk yang terkesan, sedangkan isu itu telah berlarutan sejak tahun 2016 lagi.
“Lambat bangun, tapi sekurang-kurangnya bangun juga. Cuma, elok kalau lepas bangun, jangan pura-pura tak tahu siapa yang letakkan rakyat dalam lena derita itu,” sindir kenyataan itu.
Pemuda AMANAH turut menegaskan bahawa pengambilan tanah yang berlaku ketika rakyat dalam tempoh ‘lockdown’ pada tahun 2020 adalah suatu kezaliman yang tidak sepatutnya berlaku, lebih-lebih lagi apabila pampasan yang ditawarkan jauh lebih rendah berbanding kawasan lain di ibu kota.
“Bayangkan tanah orang Melayu bandar, berhampiran KLCC, diberi pampasan RM450 sekaki persegi. Sedangkan di tempat lain seperti Taman Desa, nilainya boleh mencecah RM940.”

Kenyataan itu turut mempersoalkan ketidakkonsistenan sikap sesetengah pemimpin pembangkang yang ketika menjadi pembangkang lantang memperjuangkan pampasan tinggi untuk penduduk Kampung Baru, namun sewaktu menjadi kerajaan hanya menawarkan pampasan rendah kepada penduduk Sungai Baru.
“Inilah seninya menjadi pejuang separuh masa. Masa pembangkang, petah bicara rakyat. Masa jadi menteri, senyap dan sibuk bergambar dengan pemaju,” sindir Pemuda AMANAH lagi.
Menurut mereka, perjuangan AMANAH terhadap isu ini bukan bersifat bermusim atau sekadar untuk meraih publisiti. Sejak tahun 2020, mereka telah turun padang, memberi penerangan, malah menyediakan bantuan guaman kepada penduduk.
“Kami bukan datang bila kamera sudah terpasang. Kami hadir walaupun tiada siapa pun mahu ambil gambar.”
Pemuda AMANAH juga menyeru agar semua pihak yang kini mahu bersama membela nasib penduduk supaya tidak melupakan fakta sejarah.
“Kalau benihnya kami tanam, pokoknya jangan kalian tebang dan dakwa itu hasil tangan kalian.”
Mereka turut mengingatkan rakyat agar menilai siapa yang benar-benar bersama sewaktu perjuangan senyap, dan bukan sekadar hadir bila isu sudah jadi tular.