Sempena tahun baharu 2025, Menteri Pertahanan telah menggariskan 10 fokus utama yang akan diberikan perhatian oleh kementerian seiring dengan kepesatan pembangunan dan kemajuan Malaysia MADANI.
Melalui perutusan tahun baru, Khaled Nordin menyatakan fokus pertama yang akan diberikan keutamaan adalah mencari dan menarik bakat terbaik untuk diserap sebagai anggota Angkatan Tentera Malaysia(ATM). Katanya kedudukan Akademi Latihan Ketenteraan(ALK) akan disemak semula dari segi pencapaian, isu disiplin, kos dan bidang keperluan.
Kedua, Kementerian Pertahanan akan mengukuhkan keistimewaan dan kelebihan perkhidmatan ATM melalui pengiktirafan pengalaman mereka dengan memberi kelayakan seperti diploma. Selain itu, bagi mengatasi cabaran dan keperluan semasa, peruntukan yang diberikan melalui Belanjawan MADANI 2025 akan digunakan untuk memperkukuhkan perolehan ATM termasuk Meriam 105mm Pack-Howitzer, Surface to Surface Missile(SSM) dan tiga unit MALE UAS.
Perutusan yang dimuat naik melalui laman sosial Naib Presiden UMNO itu turut menekankan pengukuhan ekosistem kesejahteraan keluarga ATM merangkumi peningkatan faedah Hilang Upaya dan pelbagai inisiatif pendidikan. Sementara itu, dengan adanya Dasar Industri Pertahanan Negara 2025 yang akan dilancarkan semasa LIMA 25 bakal membangunkan industri pertahanan tempatan yang kompetitif dan berdaya saing.
Antara fokus lain adalah merancakkan kajian, penyelidikan dan pengkormesialan inovasi pertahanan melalui STRIDE, memperkemaskan dan melebarkan diplomasi pertahanan, mewujudkan masyarakat yang patriotik dan menghargai keamanan dan kedaulatan negara.
Akhirnya, Khaled turut menegaskan fokus Kementerian Pertahanan juga adalah berperanan untuk menyatakan pandangan dari perspektif pertahanan agar negara berupaya membuat pendirian kritikal, khususnya dalam mencermati pelbagai cabaran serantau dan antarabangsa. Seterusnya merundingkan RMK ke-13 secara strategik bagi memenuhi keperluan pertahanan negara. -SelangorToday