SHAH ALAM, 9 Nov – Pengarah Komunikasi Parti AMANAH Negara, Haji Khalid Samad menegur segelintir perwakilan yang menolak sesuatu usul dengan menggunakan alasan yang disifatkan sebagai “hujah kelas rendah” atau tidak berasas.
Dalam ucapan penggulungan pada Konvensyen Nasional Parti AMANAH Negara 2025 di Shah Alam hari ini, Khalid menegaskan bahawa setiap hujah perlu dibina berasaskan fakta dan isi kandungan, bukan menuduh niat atau kepentingan peribadi pihak yang membawa usul.
“Hujah atas fakta, jangan hujah atas niat. Mana kamu tahu niat orang nak buat pindaan kerana kepentingan diri? Siapa yang ajar hujah macam tu — tu hujah yang tak ada kelas,” tegas beliau.
Khalid menyeru semua ahli AMANAH supaya berdebat dengan akhlak dan adab politik yang tinggi, selaras dengan prinsip parti yang menolak budaya tuduh-menuduh tanpa asas.
“Kita ambil content ucapan dia, tengok apa sebab dia nak pindah (usul). Kita jawab dengan isi, bukan dengan tuduhan. Biarlah kita ada akhlak yang terpuji, jangan jadi macam PAS yang sewenang-wenangnya menuduh Mat Sabu atau golongan muda tiada tempat dalam parti,” ujarnya lagi.
Beliau turut mengingatkan bahawa budaya berhujah dengan niat buruk terhadap orang lain hanya akan melemahkan parti dan mencemarkan imej AMANAH sebagai wadah politik nilai dan akhlak.

