Bekas Menteri Besar Selangor, Muhammad Muhd Taib menggesa pengundi di Kuala Kubu Bharu khususnya pengundi melayu untuk menyokong calon HARAPAN pada pembuangan undi yang bakal berlangsung esok 11 Mei 2024. Kata Muhammad, memilih Pang Sock Tao merupakan satu langkah bijak bagi meneruskan kesinambungan pembangunan di Hulu Selangor. Jelas beliau lagi, memandangkan parlimen Hulu Selangor serta dua DUN disekitar DUN Kuala Kubu Bharu iaitu Hulu Bernam dan Batang Kali telah dikuasai oleh pembangkang, maka Kuala Kubu Bharu mesti diletakkan kepada wakil kerajaan bagi memastikan ledakan pembangunan dibawa masuk ke kewasan ini.
Tambah bekas Naib Presiden UMNO yang menjadi pencetus Selangor Maju 2005 dan wajah Melayu Baru ketika memimpin Selangor era 80an hingga 90an itu berkata, Menteri Besar terkini, Amirudin Shari telah bertekad untuk membawa pembangunan yang lebih pesat di Hulu Selangor persis Lembah Klang, ia juga merupakan tekad yang pernah dilontarkan oleh Muhammad, maka adakah pengundi mahu melengahkan pembangunan ini apabila Kuala Kubu Bharu diserahkan kepada pembangkang. Satu kerugian kepada rakyat apabila mereka menolak pembangunan yang pesat dirancang oleh kerajaan negeri hari ini.
Tambah Muhammad lagi yang juga pernah memikul amanah sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu, sebagai pengundi yang cerdik, pastinya pengundi KKB akan memilih calon yang berupaya memperjuangkan aspirasi yang dibawa oleh Kerajaan Persekutuan dan Negeri. Beliau memberi peringatan supaya pengundi tidak mengundi hanya semata-mata mengikut sentimen kaum dan agama, sebaliknya memikirkan soal pembangunan yang perlu dilaksanakan di Hulu Selangor. – SelangorToday