SelangorToday

KHAS | ISU PENGUNDI INDIA SELESAI, EXCO JAMIN TIADA BOIKOT

Seorang exco Selangor yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal orang India memberi jaminan kaum itu tidak akan memboikot PRK Kuala Kubu Baharu Sabtu ini.

Exco Sumber Manusia, Pembasmian Kemiskinan, Hal Ehwal Orang Asal & Minoriti Selangor, V Papparaidu, berkata isu utama membelenggu penduduk India di DUN berkenaan termasuk penempatan sudah selesai.

“Tidak ada boikot daripada kaum India. Saya boleh jamin 15% daripada 18% kaum India akan mengundi parti kerajaan perpaduan.

“Baki 2% lebih kita tak pasti,” kata Adun Banting kepada FMT ketika berkempen untuk calon Pakatan Harapan di pekan Kuala Kubu Bharu.

Papparaidu berkata, isu penempatan 245 keluarga peneroka estet getah melibatkan lima ladang di Bestari Jaya, Hulu Selangor, yang diusir tanpa rumah selesai apabila kerajaan mengumumkan akan membina kediaman untuk mereka.

“Isu perumahan di Ladang Mary, Ladang Nigel Gardner, Ladang Sungai Tinggi, Ladang Minyak dan Ladang Bukit Tagar selesai.

“Sebelum ini ia ‘panas’ disebabkan ada pihak ketiga mengambil kesempatan memanipulasi isu itu dengan menggesa penduduk India di KKB jangan keluar mengundi.

“Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata kerajaan negeri telah peruntukan sejumlah RM35 juta dan kerajaan pusat RM40 juta…dan ada syarikat sediakan tanah 20 ekar (8.09 hektar) untuk pembinaan rumah, jadi isu perumahan sudah selesai,” katanya.

Sebelum ini, dilaporkan penduduk dari lima ladang di DUN berkenaan meletakkan syarat jika mana-mana calon yang inginkan sokongan mereka pada PRK 11 Mei perlu membuat perakuan berkanun (SD).

Wakil jawatankuasa penduduk terbabit, Vasudevan Raja Manickam, dilaporkan berkata calon yang mahu undi perlu membuat SD bagi menunaikan segala yang ditabur. –FMT

Exit mobile version