SelangorToday

KHAS | WAN AZIZAH TURUN KUALA KUBU BHARU, SERU UNDI CALON HARAPAN

Isteri perdana menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyeru warga Kuala Kubu Bharu (KKB) keluar menunaikan tanggungjawab mengundi pada pilihan raya kecil (PRK), Sabtu ini.

Wan Azizah berkata tindakan memboikot hanya memberi kerugian kepada rakyat khususnya terhadap calon yang diyakini mampu berkhidmat dengan baik kepada masyarakat.

“Calon Kerajaan Perpaduan ini bukan saja untuk wanita tetapi untuk semua pengundi di KKB. Jangan lepaskan peluang keluar mengundi. Ini tanggungjawab kita.

“Jangan kita kata tidak mahu dan beri macam-macam alasan. Sebab kita takut menyesal selepas ini. Janganlah boikot,” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu meluangkan masa kira-kira satu jam di program walkabout bersama calon Kerajaan Perpaduan di sekitar pekan KKB di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Wan Azizah menyifatkan Pang Sock Tao sebagai calon terbaik yang mampu meneruskan kesinambungan mendiang Lee Kee Hiong di Dewan Undangan Negeri (DUN) KKB.

“Saya datang untuk beri sokongan dan menangkan calon kita. Pilihlah calon kita. Beliau mampu menyambung kesinambungan mendiang selain memartabatkan wanita di sini,” katanya.

Sementara itu, Sock Tao berharap dapat melunaskan kempen untuk bertemu semua pengundi di KKB dalam waktu berbaki kurang 48 jam.

Menurutnya penerimaan masyarakat terhadapnya amat baik sejak awal kempen sekali gus memberi semangat dan harapan untuk memenangi PRK KKB.

“Penerimaan pengundi amat baik sejak awal kempen dan ia bertambah baik dari hari ke hari. Saya menyeru semua beri peluang untuk saya bawa suara anak muda wanita ke DUN,” katanya.

Kee Hiong, 58, meninggal dunia pada 21 Mac lalu akibat barah. Mendiang dipilih sebagai wakil rakyat DUN KKB sejak 2013.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK KKB pada 11 Mei ini dengan tempoh berkempen mulai 27 April selama 14 hari. – SelangorKini

Exit mobile version