SelangorToday

KINI WANITA DIIKTIRAF PERANAN DALAM PENTADBIRAN SEBAGAI PEMBUAT KEPUTUSAN – AIMAN

Penglibatan wanita dalam pelbagai latar belakang sebagai pembuat keputusan membawa perspektif berbeza, sekali gus mengiktiraf peranan golongan itu dalam komuniti.

Timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan berkata ia juga selaras matlamat Dasar Wanita Selangor untuk meningkatkan status sosioekonomi dan autonomi golongan itu yang terpinggir.

“Wanita, terutama mereka yang tergolong dalam kumpulan kurang diwakili (marginalized group), sentiasa menghadapi halangan dalam mencari peranan pada peringkat kepimpinan.

“Matlamat ini juga mampu menatijahkan kepada pembuatan keputusan dan inovasi yang lebih baik untuk manfaat komuniti,” kata Datuk Aiman Athirah Sabu.

Beliau ditemui selepas merasmikan sambutan hari wanita peringkat Selangor di Padang Perbandaran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ),yang dihadiri hampir 1,000 pengunjung.

Sementara itu, Yang Dipertua MPAJ Dr Ani Ahmad berkata Pelan Strategik Wanita MPAJ 2024-2029 yang dilancarkan menjadi rujukan bagi pelaksanaan program wanita bagi tempoh lima tahun.

Beliau berkata pelan itu juga merangkumi beberapa langkah strategik dan program yang menyasar wanita bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan itu selaras Matlamat Pembangunan Mampan.

“Ia turut menumpukan usaha pembangunan program wanita dan keluarga, keperluan kumpulan khusus seperti mangsa keganasan rumah tangga, bencana alam dan golongan tidak berkemampuan,” katanya. – SelangorKini

Exit mobile version