Kerajaan Selangor meneliti dan melaksanakan kajian terperinci bagi mengenal pasti kawasan berisiko tinggi berlaku tanah runtuh di seluruh negeri ini.
EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata langkah itu antara usaha bagi mengelak kejadian tidak diingini daripada berulang.
“Kejadian tanah runtuh bukan kali pertama malah sudah beberapa kali berlaku di negeri ini termasuk insiden di Batang Kali dan Bukit Permai. Disebabkan itu kita ambil langkah kenal pasti kawasan berisiko.
“Usaha itu dilakukan bersama Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Kerja Raya, pihak berkepentingan, PBT, pejabat tanah dan daerah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau kerja membaiki cerun di Jalan Batang Kali-Genting Highlands semalam.
Izham berkata Kerajaan Negeri akan meneliti langkah terbaik yang perlu diambil sebaik laporan berkaitan kajian terbabit siap dilakukan.
Mengulas lanjut beliau berkata Jalan B66 Batang Kali-Genting Highlands yang runtuh ekoran tragedi tanah runtuh pada 16 Disember tahun lalu kini stabil dan tiada sebarang pergerakan tanah dikesan berlaku sekitar kawasan terbabit.
Bagaimanapun, tegasnya ia tidak boleh diambil mudah memandangkan kestabilan cerun dan kejadian tanah runtuh sukar dikesan dan tidak menunjukkan tanda akan berlaku.
“Kita tak galakkan orang ramai yang tiada urusan untuk gunakan laluan ini untuk kurangkan beban tambahan (ke atas jalan) sehingga ia siap sepenuhnya sekitar Mac depan,” katanya.
Laluan terbabit ditutup sejak 16 Disember dibuka semula pada 6 Januari lalu, namun membabitkan satu lorong dengan kawalan pihak berkuasa.
JKR memaklumkan laluan terbabit terhad kepada pekerja di kawasan Genting Highlands yang mempunyai surat pengesahan majikan selain kenderaan kelas satu (motokar, teksi dan kenderaan pelbagai guna) serta kenderaan kelas enam (motosikal dan skuter).
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar memaklumkan laluan di Jalan B66 Batang Kali-Genting Highlands hanya akan dibuka untuk kenderaan ringan mulai awal Januari.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keputusan dibuat bagi memudahkan urusan ulang-alik hampir 5,000 pekerja yang tinggal di Batang Kali, Hulu Selangor dan Genting Highlands, Pahang.
Laluan tersebut ditutup ekoran tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya yang menyaksikan 31 nyawa terkorban dan 61 selamat.