Bulan ini selain hangatnya aksi joget Presiden Amerika Syarikat , Donald J Trump semasa melawat Malaysia, isu kemasukan semula bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin juga turut menjadi tumpuan awam. Memetik sumber, akhbar tempatan memaklumkan bahawa Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi telah merestui kemasukan semula Khairy ke dalam UMNO. Khabar itu seiring dengan aksi Dr Ahmad Zahid bersalaman dengan Khairy dalam sebuah kenduri di Perlis.
Sejak itu setiap hari pelbagai ramalan dan telahan ditujukan kepada Khairy sama ada benarkan beliau akan kembali kepada UMNO dalam tempoh terdekat mahupun itu hanyalah khabar angin yang ditiupkan.
Pun begitu, dapat diperhatikan bahawa isu kemasukan Khairy ke dalam UMNO mula timbul disaat dua peristiwa politik bakal muncul menutup tahun 2025 ini. Pertama ialah Pilihan Raya Negeri Sabah. Apakah kaitannya antara Khary dan Sabah. Adakah Khairy mahu dicalonkan di PRN Sabah? Apakah besar nilai tambah yang boleh dipacu oleh BN di Sabah sekiranya Khairy menyertai UMNO sekarang? Jawapannya tidak bagi semua persoalan berbangkit. Ia menunjukkan peristiwa pertama ini tidak kaitan dengan ‘gerakan’ mengembalikan semula Khairy ke dalam UMNO.

–fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA
Sebaliknya adakah peristiwa kedua ini pula ada kaitannya dengan Khairy? Peristiwa kedua itu adalah rombakan kabinet MADANI yang bakal berlaku. Sama ada rombakan tersebut secara besar-besaran atau kecil-kecilan, ia pasti berlaku. Hal ini demikian kerana, kekosongan dua jawatan sedia ada perlu diisi sesegera mungkin. Jawatan tersebut adalah jawatan yang ditinggalkan oleh Rafizi Ramli melalui Kementerian Ekonomi dan Nik Nazmi Nik Ahmad melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam. Seorang lagi menteri bakal menamatkan khidmatnya dalam kabinet MADANI setelah penggalnya sebagai Ahli Dewan Negara mencapai tempoh maksimum. Beliau adalah Menteri Perdagangan, Perindustrian dan Pelaburan(MITI), Tengku Zafrul Tengku Aziz.
Mengapa isu kemasukan Khairy ada kaitan dengan rombakan kabinet? Kerana isu itu dimainkan sekarang. Jika Khairy diminta untuk memasuki semula UMNO sebagai calon PRU akan datang, mengapa ia perlu disertai sekarang sedangkan tempoh PRU masih berbaki panjang lagi. Mungkin Khairy ada kaitan dengan rombakan kabinet yang menjurus kepada Khairy bakal menyertai kabinet MADANI kali ini.
Apakah maksud daripada Khairy menyertai kabinet? Apakah tafsiran apabila Dr Ahmad Zahid menerima semula Khairy? Siapakah yang terancam oleh kemunculan semula Khairy? Persoalan ini pastinya mempunyai jawapan. Pun begitu, perbincangan ini akan membawa kepada portfolio apakah yang bakal dipertanggungjawabkan kepada Khairy dan membiarkan persoalan-persoalan sebelum ini bermain di minda pembaca buat seketika.
Berdasarkan sebab-sebab mengapa rombakan kabinet perlu dibuat, pastinya portfolio Ekonomi, Sumber Asli dan Kelestarian Alam serta MITI menjadi portfolio yang bakal diisi oleh Khairy. Walaupun begitu, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam merupakan kementerian yang diperuntukkan kepada PH melalui KEADILAN. Jika salah satu kementerian ini diberikan kepada Khairy, sebuah kementerian lain ataupun MITI mestilah diserahkan kepada PH-KEADILAN. Meskipun ia bukannya satu kewajipan, namun jumlah kementerian yang diperuntukkan antara komponen dalam Kerajaan Perpaduan mempengaruhi kejituan parti-parti dalam kerajaan Perpaduan memandangkan rombakan kabinet kali ini merupakan kabinet yang bakal bertempur dalam PRU ke-16.
Sebaliknya jika Khairy dipertugaskan mengemudi MITI, maka penugasan itu patut dan seimbang memandangkan MITI memang sebelum ini diletakkan dibawah Tengku Zafrul daripada UMNO sebelum menyertai KEADILAN. Atas dasar keupayaan pula, Khairy umpama ahli politik yang mempunyai kekuatannya tersendiri pasca persaraan bapa mertuanya, Tun Abdullah Ahmad Badawi, tribulasi yang timbul baik dizaman Najib Razak mahupun Dr Ahmad Zahid membentuk keterampilan Khairy untuk bertunas baik walau dimana sahaja kedudukan yang ada. Hal ini membantu keupayaan Khairy meneruskan prestasi yang telah dipacu oleh Tengku Zafrul.
Pun begitu, beberapa kementerian lain juga boleh dilihat berpotensi diberikan kepada Khairy. Antaranya adalah Khairy kembali semula ke Kementerian Kesihatan yang beliau pernah terajui itu dulu. Jika itu berlaku, MADANI bakal menyamai rekod penggal 2018-2022 dahulu apabila dalam satu penggal, tiga orang menteri mengemudi KKM iaitu Dr Dzulkefly Ahmad, Adham Baba dan Khairy sendiri. Manakala jika Khairy kembali ke KKM penggal ini, maka KKM telah dikemudi penggal ini oleh Dr Zaliha Mustafa, Dr Dzulkefly Ahmad dan Khairy. Perubahan ini bukan bermaksud Dr Dzulkefly mempunyai kekurangan dalam KKM tetapi besar kemungkinan kedudukannya yang bersifat senior dan kanan boleh diletakkan di kementerian lain yang lebih memerlukan Dr Dzulkefly.
Selain itu, satu kementerian lain yang menerima ribuat taufan dalam dua tiga bulan ini juga dalam radar untuk menempatkan Khairy disitu. Kementerian itu adalah Kementerian Pendidikan. Dalam tempoh ini, KPM sering kali dibawa ke kancah permainan politik yang membawa kepada permasalahan massa. Isu yang bersifat teknikal digunakan sebagai senjata politik dan dijadikan gelombang suara rakyat. Justeru tekanan itu makin lama makin memuncak. Isu yang sepatutnya bukan melibatkan Menteri Pendidikan dihambat sebagai satu masalah besar kepada Fadhlina Sidek. Malah ia terus didesak meletakkan jawatan setiap kali ada isu berbangkit dalam KPM. Ini menunjukkan perang persepsi mampu menggugat kedudukan kerajaan MADANI. Oleh itu seorang menteri yang mampu mengekang naratif pembangkang diperlukan.
Apa-apa pun seperti diawal tadi, jika Khairy diberikan tanggungjawab di Kementerian Pendidikan mahupun Kesihatan peruntukan yang sepatutnya diberikan kepada KEADILAN dan AMANAH wajar diganti. Maka itu, terdapat tiga kementerian yang kosong yang boleh diisi oleh Khairy, atau dua kementerian yang dianggap realistik untuk meletakkan Khairy disitu. Adapun kementerian lain turut mempunyai potensi besar untuk diserahkan kepada Khairi tinggal lagi ia mempunyai kesesuaian dan seiring dengan gerakan politik yang mungkin sedang disusun oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.