SelangorToday

KKM BAKAL UMUM PELAN REFORMASI PEMBIAYAAN PENJAGAAN KESIHATAN – DR. DZULKEFLY

Kementerian Kesihatan akan mengumumkan pelan Reformasi Pembiayaan Penjagaan Kesihatan bertujuan memperkukuh dan menambah baik sistem penjagaan kesihatan di negara ini, dalam masa terdekat.

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata agenda reformasi itu antara lain menumpukan cara kreatif dan inovatif membelanjakan bajet tahunan yang diumumkan kerajaan.

Beliau berkata ini dapat menambah kedudukan kewangan kementerian bagi kebaikan sistem penjagaan kesihatan supaya tidak tergugat dengan status fiskal negara.

“Kita pada asasnya berasaskan sistem cukai dan (kementerian) menerima RM41.2 bilion (belanjawan) untuk tahun ini dan RM6.07 bilion untuk perbelanjaan pembangunan. Sebenarnya selama ini kita kekurangan dana, kekurangan petugas dan mempunyai beban kerja yang banyak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pecah tanah bangunan tambahan Hospital Pakar Avisena di sini.

Menurutnya sebagai sebuah negara berpendapatan sederhana atas, Malaysia sepatutnya membelanjakan enam hingga 7% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk penjagaan kesihatan berbanding 5.1% ketika ini.

Sehubungan itu Dzulkefly memuji usaha sektor swasta dalam melengkapkan sistem penjagaan kesihatan sektor awam sambil menggesa supaya mereka turut terlibat dalam penjagaan kesihatan berasaskan nilai.

Sementara itu Dzulkefly berkata kementeriannya sedang berusaha mengoptimumkan penggunaan katil menerusi penawaran rawatan harian di hospital-hospital utama dan pendigitalan Unit Pengurusan Katil (BMU) secara berpusat melalui sistem Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) hospital.

Katanya ia selaras dengan sasaran ditetapkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 untuk meningkatkan nisbah dua katil untuk setiap 1,000 penduduk kepada 2.06. –FMT

Exit mobile version