
KUALA LUMPUR, 17 Feb -- Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad meletakkan papan tanda 'Dilarang Merokok' pada premis makanan ketika Tinjauan Mesra Premis Bersih Bebas Asap (BeBas) di Jalan Alor hari ini. --fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA
CYBERJAYA, 31 Mei – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan komitmennya dalam merealisasikan hasrat menjadikan Malaysia sebuah negara bebas rokok menjelang tahun 2040.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, sasaran ini boleh dicapai menerusi iltizam kolektif dan pelaksanaan dasar kesihatan awam yang tegas serta berpaksikan kepentingan rakyat.
“KKM teguh dengan matlamat untuk mencapai ‘Malaysia Bebas Rokok’ menjelang 2040. Ini satu visi yang berani dan menuntut kesepaduan semua pihak,” katanya semasa merasmikan Persidangan Kawalan Tembakau Kebangsaan 2025 sempena sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.
Menurut beliau, cabaran bukan sekadar datang daripada produk tembakau, tetapi juga industri berbilion dolar yang memperhebat ketagihan menerusi inovasi peranti, perisa manis serta strategi pemasaran yang menyasarkan golongan muda.
Beliau turut memaklumkan bahawa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini telah meluluskan secara rasmi Resolusi Kesihatan Paru-Paru Malaysia dalam Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-78 (WHA78) di Geneva – satu pencapaian penting yang menonjolkan tumpuan global terhadap kesihatan paru-paru sebagai keutamaan kesihatan awam.
Dr. Dzulkefly menekankan bahawa selain penguatkuasaan undang-undang, usaha pendidikan dan penglibatan komuniti adalah penting dalam mencegah tabiat merokok.
“Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang dikuatkuasakan sejak 1 Oktober tahun lalu memberi tumpuan kepada mengehadkan penjualan dan pemasaran produk tembakau dan vape, khususnya kepada golongan muda,” ujarnya.
Merujuk kepada data Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS), beliau berkata kadar merokok dalam kalangan dewasa telah menurun daripada 22.4 peratus pada 2019 kepada 19.8 peratus pada 2023. Namun begitu, penggunaan vape menunjukkan peningkatan daripada 4.9 peratus kepada 5.1 peratus, dengan kecenderungan tinggi dalam kalangan remaja.
“Lebih membimbangkan, NHMS 2022 mendedahkan 60,000 remaja terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan lebih 100,000 pernah mencuba bahan terlarang seperti ketum dan methamphetamine,” katanya.

Sebagai tindak balas terhadap cabaran ini, KKM telah melancarkan pelbagai inisiatif strategik termasuk program KOTAK (Kesihatan Oral Tanpa Amalan Merokok) serta melatih kaunselor sekolah dalam pencegahan awal di peringkat belia.
Selain itu, KKM menjalin kerjasama dengan badan-badan seperti Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Pemadam, syarikat korporat termasuk Maybank, KENVUE, Johnson & Johnson dan AstraZeneca, serta kolaborasi bersama Pusat Racun Negara menerusi program Siri Bebas Rokok.
Dalam majlis tersebut, KKM turut melancarkan maskot rasmi Inisiatif Kesihatan Paru-Paru Malaysia yang dinamakan “Pak Lung” – simbol keberanian, perpaduan dan komitmen bersama dalam melindungi kesihatan paru-paru rakyat.
Sebanyak 100 maskot Pak Lung akan ditempatkan di seluruh negara sebagai usaha meningkatkan kesedaran awam, menyokong program capaian komuniti serta menghubungkan kempen kesihatan paru-paru dengan inisiatif pemuliharaan alam sekitar seperti penyelamatan harimau Malaya dan ekopelancongan.