Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) kawalan keselamatan di semua hospital bagi memastikan kejadian yang tidak diingini tidak berulang, khususnya melibatkan keselamatan pesakit.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya memandang serius dakwaan insiden melibatkan cubaan melarikan bayi kembar oleh individu yang menyamar sebagai doktor.

“KKM tidak akan berkompromi dalam hal keselamatan. Kita akan terus mempertingkatkan SOP dan kawalan keselamatan. Perkara ini memberi isyarat penting bahawa sistem kawalan serta penyeliaan sedia ada perlu terus diperbaiki,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Aktiviti Fizikal Sedunia (World Day for Physical Activity – WOPAD) sempena inisiatif Hari Tanpa Kenderaan di Putrajaya, hari ini.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Dalam perkembangan lain, Dr Dzulkefly turut memaklumkan perkembangan terkini mangsa tragedi kebakaran saluran paip gas di Putra Heights. Menurutnya, seorang mangsa yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital swasta dilaporkan menunjukkan perkembangan positif.
“Sehingga jam 3.00 petang semalam, Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) melaporkan seramai 150 mangsa telah menerima rawatan, dengan 30 masih dirawat di hospital dan 10 telah dibenarkan pulang,” jelas beliau.
Daripada 30 mangsa yang masih dirawat, 13 ditempatkan di wad biasa hospital kerajaan, manakala 17 lagi di hospital swasta.
“Kita doakan semua mangsa terus pulih sepenuhnya,” tambahnya.