Kabinet hari ini meluluskan secara prinsip cadangan Kementerian Pengangkutan berkaitan pembangunan semula Stesen Sentral Kuala Lumpur (KL Sentral), yang merupakan hab pengangkutan awam utama di ibu kota.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pembangunan semula KL Sentral itu akan melibatkan penswastaan dan dianggarkan menelan belanja lebih RM1 bilion.
Beliau berkata KL Sentral akan dibangunkan semula dengan kerjasama Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB), yang merupakan pemaju keseluruhan projek KL Sentral, tanpa melibatkan implikasi kewangan kepada kerajaan.
“Sebagai pulangan, MRCB akan mendapat air rights untuk membina bangunan komersial atau kondominium dan kerajaan mendapat stesen moden yang canggih untuk keperluan penumpang,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Loke berkata seni bina asal KL Sentral adalah bagi kapasiti 100,000 penumpang sehari sahaja namun kini mencecah 200,000 penumpang sehari, menunjukkan penggunaannya amat padat terutama pada waktu puncak.
Beliau berkata meskipun kerajaan sudah bersetuju secara prinsip, ia masih tertakluk kepada perbincangan lanjut antara Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri serta MRCB dan kedua-dua pihak diberikan tempoh maksimum dua tahun untuk berbuat demikian.
“Sekiranya mereka dapat memuktamadkan kerjasama itu lebih awal maka pembangunan semula boleh dipercepat.
“Bagi Kementerian Pengangkutan, ia adalah projek penting dan strategik yang perlu diberikan keutamaan,” katanya.
Loke berkata antara syarat yang ditetapkan oleh kerajaan menerusi cadangan pembangunan semula itu ialah stesen KL Sentral perlu dibina dahulu sebelum sebarang pembangunan lain boleh dimulakan oleh MRCB.
Katanya ketika dalam pembangunan semula kelak, KL Sentral akan tetap beroperasi seperti biasa dan memberi jaminan ia tidak akan melibatkan sebarang pemindahan stesen.