SelangorToday

KLANG CATAT KES DEMAM DENGGI TERTINGGI, DR.MARIAH SERU SEMUA PIHAK AMBIL PERHATIAN

Sejak penularan wabak Covid-19, penyakit demam denggi kurang diberikan perhatian sama ada media massa mahupun kesedaran dalam masyarakat. Pandemik yang melanda negara hampir 2 tahun itu telah melenyapkan sikap keprihatinan masyarakat kepada usaha membanteras nyamuk AEDES. Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Exco Kesihatan Awam Selangor, Dr. Siti Mariah Mahmud, Negeri Selangor mencatatkan jumlah kumulatif kes demam denggi sebanyak 13,438 kes sehingga 11 Jun 2022. Bagi pecahan kes mengikut mukim pula, mukim yang mencatatkan bilangan kes tertinggi ialah Klang (2,257), Damansara (2,038), Kajang (1,338), Sungai Buloh (1,324) dan Petaling (1,169).

Dr. Siti Mariah Mahmud, Exco Kesihatan Awam Selangor

Tambah Naib Presiden AMANAH itu, usaha membanteras nyamuk AEDES boleh dilakukan dengan kesedaran dan perubahan tingkah laku dalam mencegah pembiakan nyamuk dan penularan wabak denggi. Selain itu, sebagai kerajaan yang mahukan negeri dan rakyatnya berada dalam keadaan selamat dan sihat, kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan sejumlah RM5 juta pada tahun 2022 bagi memastikan usaha pembendungan penularan wabak denggi terus dilaksanakan. Kerajaan dibawah pimpinan Pakatan Harapan Selangor ini sedang melaksanakan projek rintis bagi pengimplementasian teknologi baru dalam memantau lokaliti wabak dengan lebih efisien iaitu dengan menggunakan dron dan membangunkan aplikasi pengesanan lokaliti hotspot yang boleh diakses oleh masyarakat awam.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh ADN Seri Serdang itu merupakan kenyataan media sempena Sambutan Hari Denggi ASEAN 2022. Dr. Siti Mariah juga menyeru agar setiap individu meningkatkan kesedaran tentang pencegahan denggi serta melakukan langkah pencegahan seperti menjaga kebersihan rumah dan kawasan persekitaran, menghapuskan bekas air bertakung yang menyebabkan pembiakan, menggunakan repelan dan amalkan pembuangan sampah di tong sampah. Akhirnya Dr. Siti Mariah mahu Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor juga (SUKA) akan melaksanakan program-program di peringkat komuniti bagi meningkatkan tahap pengetahuan dan kesedaran rakyat tentang kepentingan langkah pencegahan.

Exit mobile version