Site icon SelangorToday

KOLAM TAKUNGAN: SELANGOR KOMITED LAKSANA TINDAKAN MENYELURUH SEBELUM MUSIM MONSUN

e8c8d9f0-izham-hashim-bernamapic-211223

Sebanyak 35 buah rumah di Taman Seri Alam, Saujana Utama di sini terjejas susulan kejadian pecahnya kolam takungan air pada awal pagi tadi. Kerajaan Negeri Selangor dalam satu kenyataan menegaskan bahawa keselamatan penduduk menjadi keutamaan dan tindakan segera serta penyelesaian jangka panjang sedang giat dilaksanakan.

Menurut EXCO Infrastruktur dan Pertanian Selangor, YB Dato’ Ir Izham Hashim, kejadian itu dipandang serius memandangkan cuaca tidak menentu menjelang musim hujan. Beliau berkata, sejurus insiden berlaku, Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) bersama KDEB Waste Management Sdn Bhd telah menjalankan kerja-kerja pembersihan kawasan terjejas, manakala pemaju projek terlibat pula telah melakukan pembaikan sementara ke atas struktur tembok kolam yang rosak.

“Berdasarkan pemerhatian semasa, struktur sementara yang dipulihkan kini mampu menampung aliran air biasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang memuktamadkan pelan penyelesaian jangka panjang yang dirangka bersama pihak perunding kejuruteraan pemaju serta wakil persatuan penduduk setempat.
Pelan tersebut dijangka siap dan mula dilaksanakan sebelum suku ketiga tahun ini, iaitu sebelum bermulanya musim monsun timur laut.

“Kerajaan Negeri memastikan penyelesaian ini mengambil kira bukan sahaja aspek teknikal, malah aspek sosial dan kemanusiaan demi kesejahteraan penduduk,” tambah beliau.

Sementara menunggu penyelesaian muktamad, beberapa tindakan segera telah diambil termasuk kerja-kerja pengorekan dasar kolam (desilting) serta pembaikan kedudukan perangkap sampah (trash rake) di dalam kolam takungan. Langkah-langkah ini dilaksanakan dalam tempoh seminggu dan sedang berjalan dengan rancak di tapak kejadian.

Kerajaan Negeri turut memberi jaminan bahawa Jabatan Pengairan dan Saliran, MPKS serta agensi teknikal berkaitan akan terus komited bagi memastikan insiden seumpama ini tidak berulang.

“Kerajaan memahami keresahan penduduk dan akan memastikan semua kerja penambahbaikan mematuhi piawaian keselamatan yang ketat. Kami komited untuk terus mendengar suara rakyat serta melaksanakan tindakan susulan dengan penuh tanggungjawab dan keprihatinan,” kata Dato’ Ir Izham.

Insiden pecahnya kolam takungan ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk, apatah lagi dengan ketibaan musim hujan yang berpotensi meningkatkan risiko banjir. Kerajaan Negeri berharap semua usaha mitigasi yang diambil mampu mengembalikan keyakinan penduduk terhadap keselamatan kawasan perumahan mereka.

Exit mobile version