SelangorToday

KOMPONEN PH JANGAN ANGKUH, AMBIL PENGAJARAN PRN SABAH 2020

Apa-apa pun pilihan Pakatan Harapan(HARAPAN) untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah akan datang, keutamaan HARAPAN mestilah berpaksikan kepada satu pasukan sebagai sebuah pakatan.

Jika komponen HARAPAN itu KEADILAN, DAP, AMANAH mahupun UPKO mengambil haluan dan pendekatan masing-masing, ia jelas akan memberi kesan kepada jumlah kerusi yang bakal dimenangi oleh semua parti-parti tersebut.

HARAPAN memasuki gelanggang PRN kali ini bukan sebagai pemain utama sehingga mampu meletakkan seorang calon Ketua Menteri, sebaliknya HARAPAN akan memainkan peranannya sebagai blok yang diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri sama ada bersama Gagasan Rakyat Sabah(GRS), Barisan Nasional atau WARISAN.

Pimpinan parti komponen HARAPAN perlu menerima hakikat tersebut. Pendekatan yang membawa imej parti komponen semata-mata dalam pertempuran di Sabah ini hanya akan mengurangkan keyakinan rakyat kepada HARAPAN. Misalnya semasa PRU 2022, HARAPAN menggunakan logo HARAPAN untuk bertanding di Sabah, kesannya lebih banyak kerusi berjaya dipertahankan berbanding yang tewas.

Ini fakta yang wajar diingati oleh pimpinan. Tiada makna dan untungnya hendak menggunakan logo parti masing-masing dalam PRN ini memandangkan tidak ada bukti yang menunjukkan pertandingan melalui logo parti komponen masing-masing akan meningkatkan sokongan rakyat Sabah seterusnya akan memaksimumkan jumlah kerusi HARAPAN.

Sentimen Sabah for Sabahan dan anti semenanjung amat menguat menjelang pembubaran Dewan Undangan Negeri Sabah kelak. KIta dapat lihat WARISAN misalnya menggunakan sentimen Sabahan yang bersatu tanpa mengira kaum. BN pula sehabis usaha untuk memaparkan zaman pemerintahannya merupakan zaman yang memperkukuhkan kedaulatan Sabah. Manakala GRS khususnya STAR menyerang BN sebagai parti semenanjung.

HARAPAN pula jelas menerima kesan buruk apabila HARAPAN sebagai teraju utama Putrajaya dijadikan sasaran kegagalan pelaksanaan MA63 yang seterusnya meletakkan tembok besar bahawa HARAPAN merupakan parti semenanjung.

Dari sini kita dapat melihat sentimen sabahan amat kuat dimainkan bagi memaksimumkan sokongan rakyat Sabah, maka HARAPAN sebagai sebuah gabungan parti bertunjangkan semenanjung dan hanya ada satu parti sahaja daripada parti tempatan iaitu UPKO, perlu bergerak sebagai sebuah pasukan yang bersatu padu dibawah jalur HARAPAN dengan mengunakan imej UPKO.

Pengalaman UPKO sebagai sebuah parti yang pernah mendapat sokongan pengundi Sabah akan membantu HARAPAN memenangi seberapa banyak kerusi apabila diadunkan dengan pengundi tegar HARAPAN dan pengundi kaum cina di Sabah.

Meskipun menggunakan imej UPKO sebagai teras, isu pengagihan kerusi dan jalinan kerjasama tetap berpaksikan kepada empat parti komponen HARAPAN. Malang kepada HARAPAN jika ada parti komponen HARAPAN yang mendabik dada menyatakan mahu bertanding di sana dan di sini tanpa memikirkan soal rakan segabungan mahupun rakan sekutu yang HARAPAN akan putuskan kelak. Paling kurang kesediaan untuk bertanding mana-mana kerusi mestilah dengan restu Majlis Presiden HARAPAN, oleh itu dengan keadaan tergesa-gesa menyatakan kesediaan untuk bertanding mana-mana kerusi adalah satu sikap ‘abang long’ sedangkan ke semua parti dalam HARAPAN menang kurang daripada 10 kerusi sahaja.

Pemimpin HARAPAN Sabah perlu rasional dan jangan terikut dengan nolstagia lama yang belum pasti mendatangkan kelebihan kepada parti. Sebaliknya memikirkan jalan yang lebih tuntas sekurang-kurangnya HARAPAN mempunyai kerusi yang mampu memberi timbal balas kepada kerajaan negeri yang bakal dibentuk. Keangkuhan parti untuk bertanding menggunakan logo masing-masing dalam PRN 2020 hanya mengurangkan jumlah kerusi yang ada. Ini fakta lalu yang mesti diingati.

Jangan angkuh untuk kemenangan parti masing-masing, namun fikirkan yang terbaik untuk nama HARAPAN dijulang di Sabah sebagai gabungan yang kuat dan memimpin Putrajaya. HARAPAN akan dilihat gagal dan lemah apabila jentera HARAPAN berpecah dan gagal mendapatkan kerusi yang menyakinkan meskipun HARAPAN adalah tonggak pemerintahan di Putrajaya.

Exit mobile version