SelangorToday

KONFLIK TATAKELOLA: PERLEMBAGAAN NAFAS DIGANTUNG

Pendaftar Pertubuhan Peladang menggantung Perlembagaan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), berkuatkuasa hari ini.

Arahan penggantungan itu dikeluarkan Ketua Pengarah Pertubuhan Peladang, Amin Matamin selaku Pendaftar Pertubuhan Peladang di bawah Seksyen 20(1) Akta Pertubuhan Peladang 1973 (Akta 109).

Katanya, dalam tempoh penggantungan itu, jemaah pengarah dan pihak pengurusan NAFAS tidak mempunyai kuasa seperti diperuntukan dalam Perlembagaan pertubuhan itu.

“Pendaftar akan melantik pentadbir dan beberapa jawatankuasa bagi mengawasi tadbir urus di NAFAS dan membuat penyiasatan terhadap pengurusan, tatakelola serta rekod kewangan.

“Penggantungan itu berkuatkuasa 1 November 2024, sehingga penarikan balik yang akan dimaklumkan kelak,” katanya pada sidang media reformasi tatakelola NAFAS, di Menara LPP, di sini, hari ini.

Amin berkata dengan perintah pendaftar yang berkuatkuasa hari ini, maka NAFAS mempunyai hak selaras dengan Seksyen 21 Akta Pertubuhan Peladang 1973 untuk merayu kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam tempoh 30 hari dari tarikh perintah jni.

Bagaimanapun katanya, keputusan menteri adalah muktamad dan tidak boleh dorayu atau dipersoalkan di mana-man mahkamah.

“Semasa tempoh penggantungan, NAFAS akan diurus dan ditadbir oleh pentadbir-pentadbir yang akan dilantik untuk mengurus hal ehwal NAFAS.

“Oleh itu, NAFAS masih terus beroperasi seperti biasa dengan kakitangan dan pegawai sedia ada. Pentadbir akan melaksanakan tatakelola yang baik dalam proses pemulihan semula selaras dengan objektif untuk kepentingan peladang,” katanya.

Amin berkata ketidakharmonian NAFAS berlaku apabila pihak Jemaah Pengarah membelakangi keputusan-keputusan pendaftar dengan bertindak sendiri mengeluarkan kenyataan-kenyataan media sebelum merujuk kepada pendaftar.

Katanya, sekiranya ada kenyataan yang memudaratkan Pertubuhan Peladang dalam tempoh penggantungan, maka tindakan tatatertib akan diambil.

“Tindakan yang akan diambil termasuklah mengosongkan jawatan.

“Dalam tempoh penggantungan, Ahli Jemaah Pengarah tidak dipecat, mereka hanya digantung sementara sahaja. Dalam tempoh ini mereka perlu bertenang dan menyerahkan kuasa kepada pendaftar untuk mentadbir,” katanya.

Menjawab berapa lama Perlembagaan NAFAS akan digantung, Amin berkata, pihaknya tidak menetapkan sebarang tempoh masa.

“Yang penting isu ini selesai, kita akan lepaskan. Ia boleh sebulan, dua bulan, mungkin tiga bulan. Mungkin setahun. Bergantung kepada situasi semasa,” katanya.

Amin berkata pada 7 Februari lalu, NAFAS dikenakan satu tempoh moratorium oleh menteri dengan tujuan memperbaiki tatakelola dan tadbir urusnya.

Katanya, NAFAS memerlukan tindakan pemulihan segera susulan isu-isu konflik dalaman dan ketidakharmonian yang menjejaskan organisasi itu dari segi operasi dan fungsinya.

“Sepanjang tempoh moratorium selama sembilan bulan, pendaftar mengeluarkan arahan penambahbaikan dengan tujuan tambah baik tatakelola dan urus tadbir NAFAS.

“Arahan-arahan yang dikeluarkan itu selaras dengan peraturan 85 Peraturan Peraturan Peladang 1983 menjurus dan memfokuskan penstrukturan semula fungai dan tanggungjawab bagi tujuan pengasingan kuasa yang jelas di antara Jemaah Pengarah dan pengurusan eksekutif.

“Pemerhatian pejabat pendaftar Pertubuhan Peladang menunjukkan usaha menambah baik tatakelola dan tadbir urus NAFAS dalam tempoh moratorium tidak dihayati dengan baik oleh jemaah pengarah NAFAS,” katanya.

Mengulas sama ada, penggantungan itu bagi memberi ruang kepada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Amin berkata, semua pihak mempunyai skop masing-masing.

“SPRM mempunyai skop masing-masing, cuma kita melihat dari sudut tatakeloka di bawah peraturan dan undang-undang Pertubuhan Peladang.

“Mungkin ia dikaitkan serentak, tapi sebenarnya kita tidak ada isu sangat pasal SPRM,” katanya. -Berita Harian

Exit mobile version