Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan hari ini berjaya membuktikan kepada seluruh negara dan dunia bahawa pentadbirannya kini dalam keadaan kukuh dan stabil.
Atas kejayaan penganjuran konvensyen yang julung kali diadakan itu, Perdana Menteri yakin kerajaan di bawah pimpinannya tidak akan tergugat dan mampu kekal mentadbir negara sekurang-kurangnya sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Sehubungan itu, beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Presiden PKR mahu semua pimpinan dan anggota Kerajaan Perpaduan terus fokus melaksanakan amalan tata kelola yang baik serta memastikan pertumbuhan ekonomi negara bagi membela nasib rakyat.
“Kita bangga, Alhamdulillah kita dapat tubuh kerajaan dan kerajan tak dijangka. Ada yang kata mungkin (bertahan) tiga bulan, mungkin (hingga) sebelum Tahun Baharu Cina, selepas itu (hingga) sebelum puasa, selepas itu sebelum raya, kemudian sebelum raya haji.
“Alhamdulillah, konvensyen hari ini memberikan signal yang jelas kepada rakyat Malaysia dan dunia (bahawa) kerajaan ini bukan saja stabil, tetapi insya-Allah kekal sehingga pilihan raya umum akan datang.
“Kekal untuk apa? Untuk pastikan tata kelola mesti baik, hentikan amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dan keduanya, pastikan dasar yang boleh memacu pertumbuhan dan membela nasib rakyat negara kita,” katanya.
eliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Perdana sempena Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), di sini.
Anwar turut menghargai sokongan padu pimpinan semua parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan, sekali gus menggagalkan usaha pihak tertentu yang ‘masih mengigau’.
“Kalau ada yang masih mengigau, saya sudah lontarkan cadangan kepada mereka, bawa usul di Parlimen dan kita bertempur di Parlimen minggu ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri menegaskan kekuatan kerajaan ketika ini turut terbukti berdasarkan prestasi cemerlang dilakarkan pentadbirannya hanya dalam tempoh singkat enam bulan selepas PRU15.
Ini termasuk kejayaan Malaysia mencatat antara pertumbuhan ekonomi terbaik di Asia dengan 5.6 peratus bagi suku pertama tahun ini, selain kadar inflasi yang menyederhana kepada 3.6 peratus pada suku pertama tahun ini, berbanding 3.9 peratus pada suku keempat 2022 .
Selain itu, kerajaan pimpinannya juga berjaya menarik pelaburan bernilai berbilion ringgit, antaranya pelaburan digital berkualiti daripada Amazon Web Services (AWS) bernilai RM25.5 bilion, pelaburan beberapa syarikat ternama Korea Selatan berjumlah RM24 bilion serta potensi pelaburan daripada China bernilai RM170 bilion.
“Ini saya sebut kerana apa erti perpaduan, kerajaan yang kukuh dengan kekuatan dua pertiga untuk apa? Untuk sombong? Tunjuk angkuh, zalim, menindas atau memunggah kekayaan? Saya jawab untuk membangunkan semula Malaysia dan membela nasib rakyat.
“Ini ertinya tata kelola yang baik, perundingan yang tidak meletakkan komisyen untuk menteri dan keluarga mereka.
“Ini ertinya kemudahan dan kepantasan menjalankan perniagaan yang harus kita lakarkan agar negara ini muncul semula sebagai gergasi di rantau ini,” katanya