Shah Alam, 28 Jun 2025 – Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat, dan Ekonomi Penjagaan hari ini menganjurkan Konvensyen Wanita Selangor 2025 buat pertama kalinya, sebagai langkah strategik memperkasa potensi dan kapasiti ekonomi wanita di negeri ini.
Menurut Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, YB Anfaal Saari, konvensyen ini bertujuan menangani halangan sistemik terhadap penyertaan wanita dalam tenaga kerja, selain memperjuangkan dasar kerja anjal, latihan kerjaya, dan bimbingan profesional yang lebih inklusif dan mesra keluarga.

“Konvensyen ini bukan sahaja ruang dialog dan perkongsian, tetapi juga medan untuk wanita meneroka bidang-bidang masa depan berimpak tinggi seperti Digital/AI, TVET, STEM, ekonomi penjagaan dan keusahawanan,” katanya.
Konvensyen yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam ini dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin. Ia dianjurkan oleh Wanita Berdaya Selangor (WBS) dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia, PERKESO serta 13 rakan strategik dari agensi kerajaan dan swasta.
Empat komponen utama menghiasi konvensyen ini:
- Konvensyen Kerjaya Wanita, membuka peluang kerjaya baharu dan kefahaman pasaran kerja semasa;
- Pitching Usahawan Digital, menyokong kemasukan wanita ke dalam ekonomi digital;
- Ekspo Hasil Suri Selangor (HaSSel), memperluaskan pasaran untuk produk komuniti wanita termasuk suri rumah dan ibu tunggal;
- Sesi Townhall Gen Z, membina kesiapsiagaan belia wanita dalam sektor seperti TVET dan STEM.
Antara peserta yang terlibat ialah wanita yang tidak bekerja, suri rumah, graduan, usahawan baharu, pelajar sekolah menengah, profesional, pembuat dasar, serta pemimpin industri dan akademik.
Konvensyen ini turut diselaraskan dengan Matlamat Pertama dalam Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Selangor 2024–2026 yang memberi fokus kepada peningkatan keupayaan wanita Selangor dalam sektor sosioekonomi.