 
                SHAH ALAM, 25 Ogos – Kadar kesuburan di Selangor semakin merosot apabila kadar kesuburan jumlah (Total Fertility Rate – TFR) negeri ini kini hanya 1.5 anak bagi setiap wanita, jauh di bawah paras penggantian penduduk 2.1.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, YB Puan Anfaal binti Saari berkata, situasi ini dipengaruhi dua faktor utama yang menyebabkan anak muda menunda perkahwinan atau memilih untuk tidak berkahwin langsung – iaitu tekanan kos sara hidup yang tinggi dan fenomena kemerosotan interaksi sosial atau “relationship recession”.

Menurutnya, realiti pendapatan anak muda hari ini tidak setara dengan peningkatan kos kehidupan. “Gaji sebenar graduan baharu hanya sekitar RM2,000 hingga RM3,000, jauh lebih rendah berbanding kuasa beli graduan empat dekad lalu yang jika diselaraskan dengan inflasi sepatutnya mencecah RM7,000 hingga RM8,000,” katanya ketika merasmikan Seminar Kependudukan Negeri Selangor 2025, di sini.
Beliau menegaskan keadaan ini membuatkan ramai anak muda menangguhkan keputusan untuk berkahwin atau membina keluarga kerana merasakan pendapatan tidak mencukupi bagi menanggung komitmen jangka panjang.
Selain faktor ekonomi, Anfaal turut menarik perhatian kepada fenomena kemerosotan hubungan sosial yang semakin ketara dalam kalangan generasi muda. Katanya, penggunaan media sosial yang menggantikan interaksi nyata telah menyebabkan masyarakat kurang berkawan, kurang bercinta dan akhirnya kurang berkahwin.

“Budaya drama romantik yang mewujudkan ekspektasi tidak realistik, serta akses mudah kepada pornografi turut melemahkan motivasi untuk membina hubungan sebenar,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan dasar kerajaan negeri perlu memberi tumpuan kepada punca akar masalah, termasuk memperkukuh kestabilan ekonomi, mengurangkan kos sara hidup, meningkatkan keseimbangan kerja-hidup, serta membina ruang sosial yang sihat untuk anak muda.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            