SelangorToday

KPKM KENALPASTI LANGKAH KAWAL KEMASUKAN CILI MERAH, ELAK LAMBAKAN – MOHAMAD

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) akan mengkaji langkah untuk mengawal kemasukan tanaman kontan termasuk cili merah ke negara ini bagi mengelakkan berlakunya lambakan hasil di pasaran.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pengawalan pengimportan hasil tani itu penting bagi memastikan harga tanaman kontan itu tidak mengalami ketidaktentuan harga khususnya menjelang musim perayaan.

“Kita akan cuba bertindak, Insya-Allah. Kita ada bincang di peringkat pegawai minggu lalu dan kita akan lihat supaya tidak berlaku lambakan dalam keadaan sekarang.

“Masalah harga sayur ini sudah berzaman. Kadang-kala naik terlalu tinggi, turun terlalu rendah tetapi pengawalan itu mesti ada,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu beliau melakukan lawatan kerja ke projek penanaman cili merah di Ladang Satelit Ehsan Tani di Sungai Kelambu, Banting.

Mohamad juga berkata, kerajaan akan meluaskan dan menggalakkan petani tempatan mengusahakan penanaman kontan cili merah di pelbagai kawasan dan tidak terlalu bergantung kepada sesuatu tempat sahaja.

“Sayur-sayuran kalau kita bergantung kepada Cameron Highlands, kalau dia bermasalah maka akan terjejas sayur-sayuran di seluruh Malaysia.

“Kita lihat penanaman cili yang diusahakan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat amat memberangsangkan, moden dan secara mitigasi. – MalaysiaGazatte

Exit mobile version