Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan melaksanakan strategi pelbagaikan negara-negara pengimport sumber bekalan makanan bagi memastikan bekalan makanan di negara ini mencukupi.
Ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Gerik, Mohamad bin Sabu menyatakan strategi tersebut antaranya digunakan bagi komoditi terpilih yang mempunyai kadar sara diri atau SSR yang lebih rendah.
Katanya, strategi itu dilakukan bagi mengelakkan kebergantungan bekalan sumber import hanya kepada satu-satu negara sahaja.
Tambah Presiden AMANAH itu, bagi memenuhi keperluan bekalan beras, negara sumber yang telah dikenalpasti adalah Thailand, Vietnam, India, Pakistan dan Myanmar. Sehingga Oktober 2024, jumlah keseluruhan stok beras termasuk stokpail ialah 1.1 juta tan metrik yang mencukupi bagi menampung 5.6 bulan keperluan negara.
Tegas Mohamad, kerajaan MADANI mempunyai rancangan segera dalam memastikan bekalan sumber makanan negara terjamin dan mempunyai simpanan yang cukup jika berlaku bencana atau peperangan mengambil kira faktor ketegangan di Laut China Selatan dan keadaan iklim dunia yang tidak menentu. –SelangorToday