Site icon SelangorToday

KPKM Perjelas Isu Diesel, Lancar 5 Tindakan Tegas Lindungi Pesawah dan Industri Padi

Mohamad sabu

PUTRAJAYA, 26 Mac 2026 — Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) tampil memperincikan langkah berperingkat yang telah dan sedang dilaksanakan bagi menangani peningkatan kos operasi pesawah serta mengukuhkan industri padi dan beras negara, susulan isu kenaikan harga diesel yang dibangkitkan pihak pembangkang.

Kementerian itu menjelaskan bahawa langkah awal telah pun diambil sebelum penyasaran subsidi diesel pada 2024, termasuk menaikkan kadar bantuan pembajakan daripada RM100 kepada RM160 sehektar serta memperkenalkan bantuan upah menuai sebanyak RM50 sehektar bagi mengurangkan beban pesawah.

Dalam menghadapi cabaran cuaca kering dan kemarau khususnya di utara Semenanjung, KPKM memaklumkan beberapa tindakan segera telah dilaksanakan seperti Operasi Pembenihan Awan pada 13 hingga 14 Februari lalu serta penggunaan kaedah penanaman Tabur Terus Kering (TTK) di kawasan sumber air terhad. Pesawah yang terjejas turut dipertimbangkan untuk bantuan di bawah Tabung Bencana Tanaman Padi dan Skim Takaful Tanaman Padi.

Sebagai langkah memperkukuh tadbir urus industri, Mesyuarat Pasca Kabinet KPKM pada 17 Mac lalu turut meluluskan penubuhan Jawatankuasa Perundingan Industri Padi dan Beras Negara (JKPIPB).
Jawatankuasa ini akan menghimpunkan semua pemain industri termasuk wakil pesawah, persatuan dan NGO bagi membincangkan isu secara kolektif serta telus, dan akan dipengerusikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Selain itu, sesi libat urus bersama pemain industri termasuk wakil pesawah dan pengilang baja turut diadakan pada 18 Mac bagi mendapatkan maklum balas langsung berhubung kesan konflik di Asia Barat terhadap sektor pertanian negara.

KPKM turut memaklumkan penubuhan jawatankuasa khas di peringkat kementerian bagi meneliti kesan kenaikan harga minyak dunia terhadap sektor pertanian secara menyeluruh, sebelum sebarang syor dikemukakan kepada Kementerian Kewangan.

Dalam masa sama, kementerian menegaskan bahawa subsidi input pertanian seperti benih, baja dan racun tidak terjejas dan akan diteruskan seperti biasa walaupun berlaku peningkatan kos di peringkat global.

Mengulas dakwaan berkaitan bantuan insentif tunggu tuai RM600, KPKM menjelaskan bahawa bantuan tersebut adalah inisiatif khas secara one-off bagi musim tanaman 2023 dan 2024 sahaja, dan tidak diteruskan dalam Belanjawan 2025 dan 2026. Justeru, kementerian menegaskan tidak timbul isu kelewatan pembayaran seperti yang didakwa.

“Kenyataan berkaitan dasar kerajaan perlu berasaskan fakta bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pesawah dan rakyat,” menurut kenyataan itu.

KPKM menegaskan bahawa pihaknya sentiasa memantau kesan kenaikan harga diesel terhadap kos operasi pesawah dan bersedia melaksanakan intervensi sewajarnya di bawah Akta 522 sekiranya berlaku gangguan terhadap rantaian bekalan padi dan beras negara.

Kerajaan MADANI melalui KPKM akan terus mengamalkan pendekatan proaktif, inklusif dan berasaskan data bagi memastikan kebajikan pesawah terpelihara serta keterjaminan makanan negara terus diperkukuh.

Exit mobile version