Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang mempertimbangkan untuk menubuhkan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Selatan bagi membantu pesawah di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan (NS) yang menghadapi masalah pengairan di kawasan jelapang.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata langkah itu bagi membolehkan urusan membantu pesawah ketiga-ketiga negeri berkenaan lebih tersusun dan terurus berbanding sebelum ini.
Selain itu, katanya, KPKM juga sedang berusaha untuk mendapatkan dana tambahan daripada Kerajaan Persekutuan bagi memperbaiki saliran pertanian di kawasan luar jelapang.
“Ini kerana pembangunan saliran yang baik di kawasan luar jelapang adalah sangat penting sebagai persediaan negara bagi menghadapi ancaman perubahan cuaca yang semakin ketara sejak akhir-akhir ini.
“Sebab itulah, saya sendiri sudah beberapa kali berbincang dengan kerajaan Sabah dan Sarawak untuk membuka jelapang padi baharu di negeri berkenaan.
“Alhamdulillah, kerajaan Sarawak dalam belanjawan itu baru-baru ini bersetuju untuk memperuntukkan RM500 juta bagi memperbaiki infrastruktur sawah di negeri terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pengisytiharan Varieti Padi Baharu Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) MR 326 di Kampung Sempang, Merlimau di sini, petang tadi. -Berita Harian