Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan terus membantu pemaju projek Residensi Hektar Gombak di sini dalam mendapatkan pembiayaan kewangan untuk menyiapkan projek perumahan di bawah kategori sakit itu.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, bagaimanapun, pemaju hendaklah akur dan memenuhi syarat yang telah ditetapkan oleh institusi kewangan bagi memastikan dana pinjaman diluluskan kepada pemaju berkenaan.
“Status kemajuan projek itu tertangguh berikutan masalah kewangan yang dihadapi oleh pemaju,” katanya menerusi kenyataan malam tadi.
Menurut beliau, Residensi Hektar Gombak diklasifikasikan sebagai projek sakit kerana mengalami kelewatan berbanding jadual kerja yang ditetapkan dalam Perjanjian Jual Beli (PJB) serta gagal untuk disiapkan dalam tempoh perjanjian tersebut.
“Status kemajuan sebenar di tapak kekal sebanyak 84.75 peratus dan kerja-kerja di tapak hanya minimal dan tidak memberikan kemajuan yang signifikan,” katanya.
Aiman Athirah turut berkata Pasukan Petugas Khas Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) mengadakan beberapa sesi libat urus bersama pemaju dan turun ke tapak projek berkenaan sebagai langkah mitigasi daripada Kerajaan Madani.
“TFST berjaya memudah cara menyelesaikan isu-isu teknikal yang melibatkan Pemasangan Paip Utama Di Bawah Skim Bekalan Air Bersepadu (IWSS), Loji Rawatan Kumbahan (STP) dan Pemasangan Paip Greater KL (GKL),” katanya.
Sementara itu, beliau berkata KPKT sedia memperhalusi alternatif terbaik untuk membantu pemulihan projek perumahan sakit terutamanya bagi rumah mampu milik untuk kemaslahatan pembeli rumah yang terpaksa menanggung bayaran pinjaman perumahan di samping kos menyewa rumah sedia ada.
“KPKT melalui TFST komited meneruskan agenda nasional dalam membantu pemulihan projek perumahan swasta bermasalah sama ada dalam kategori lewat, sakit atau terbengkalai bagi memastikan kepentingan pembeli rumah terpelihara seterusnya mengurangkan beban rakyat bagi menjamin kelestarian industri perumahan mampu milik secara keseluruhan,” katanya.
Projek Residensi Hektar Gombak merupakan pembangunan bercampur terdiri daripada lima blok bangunan pangsapuri 46 tingkat, melibatkan 2,400 unit rumah dan lokasi projek perumahan itu terletak di Jalan Gombak, Setapak.
Sebelum ini, media melaporkan pembeli projek Residensi Hektar Gombak melahirkan rasa kecewa apabila hasrat memiliki kediaman sendiri belum tercapai kerana projek rumah mampu milik itu masih terbengkalai.
-BERNAMA