SelangorToday

KPKT UMUM 6 KRITERIA PEMBANGUNAN FOKUS PERANCANGAN BANDAR

Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) komited untuk terus memperkukuh perundangan dan dasar perancangan bandar menerusi fokus terhadap enam kriteria pembangunan.

Melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), KPKT akan memberi penekanan kepada keterhubungan kejiranan, perancangan perbandaran lestari, ruang lapang pelbagai saiz, kebolehtelapan visual sebagai keselamatan pasif, penyesuaian tenaga boleh diperbaharui dan komuniti lestari.

Nga Kor Ming, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan

Menterinya, Nga Kor Ming, berkata perkara berkenaan memerlukan penggemblengan tenaga dan usaha sama berterusan dengan pelbagai pihak termasuk pakar tempatan bagi memantapkan lagi kualiti perancangan pembangunan bandar selain menjadi platform perkongsian pengalaman serta perbincangan dasar-dasar perancangan pembangunan negara.

“Ia juga diharap dapat memperkukuh hubungan kerjasama strategik dan sebagai asas dalam penyediaan Panduan Pelaksanaan Perundangan, Dasar, Polisi dan Garis Panduan Perancangan Pembangunan Bandar,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain perkongsian kepakaran perumahan luar negara seperti Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), katanya, KPKT juga bersedia menerima pandangan dan perkongsian ilmu daripada pakar perumahan dalam negara seperti Desa ParkCity yang telah memenangi lebih 30 anugerah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Sebelum ini, Kor Ming bersama pengurusan tertinggi kementerian telah mengadakan lawatan kerja ke Desa ParkCity di sini bagi perkongsian mengenai amalan terbaik perancangan pembangunan bandar.

Katanya, KPKT sentiasa bersedia mencari ruang dan peluang dengan kerjasama strategik dalam pelbagai bidang dari dalam dan luar negara demi manfaat kepada rakyat.

Beliau berkata, pengurusan dan perancangan bandar yang berdaya huni perlu dilengkapi penyediaan infrastruktur dan fasiliti yang holistik dengan mementingkan aspek kemudahsampaian, kesalinghubungan, keselesaan dan kesejahteraan rakyat.

“Lebih banyak sesi libat urus dilaksanakan melibatkan pelbagai pihak bagi mendukung hasrat KPKT dalam membuat perancangan secara lebih menyeluruh, berfokus dan memberi manfaat kepada rakyat. “Pemaju juga perlu memainkan peranan dalam membangunkan perbandaran yang mesra komuniti, khususnya bagi penyediaan perumahan mampu milik di lokasi yang strategik,” katanya.

Exit mobile version