SelangorToday

KSN BAHARU SEIRING PERDANA MENTERI, TUMPU TATAKELOLA PERKHIDMATAN

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar, mengingatkan semua penjawat awam supaya memperkasakan tatakelola dalam perkhidmatan seperti ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menegaskan tatakelola sebagai agenda penting sepanjang mengemudi penjawat awam, beliau berkata penjawat awam sebagai jentera kerajaan juga perlu taat dan menjadi benteng kepada negara.

“Saya yakin dengan jentera kerajaan yang ada, kita dapat memberikan perkhidmatan terbaik untuk rakyat, insya-Allah dengan kepemimpinan Perdana Menteri, saya yakin beliau mampu bawa Malaysia ke arah lebih cemerlang.

“Namun, penjawat awam mesti taat setia kepada kerajaan kerana penjawat awam adalah benteng negara dan seperti mana di bawa Perdana Menteri yang mementingkan tatakelola, itu akan menjadi agenda penting saya dalam mentadbir (penjawat awam),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengimbas kad perakam waktu pada hari pertama memulakan tugas sebagai KSN di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Shamsul Azri turut mengajak semua penjawat awam untuk bekerja bersamanya demi rakyat dan membangunkan negara tercinta.

Mengenai penganjuran Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 pada Jumaat ini, beliau berharap supaya semua penjawat awam menantikan berita baik.

Antara intipati MAPPA ialah berkaitan pelarasan gaji penjawat awam akan diumumkan serentak dengan pelancaran Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Shamsul Azri dilantik sebagai KSN Ke-16 menggantikan Tan Sri Mohd Zuki Ali yang menamatkan kontraknya Sabtu lalu selepas lima tahun memimpin penjawat awam.

Beliau sebelum ini adalah Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS).

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Pentadbiran Perniagaan) dari Universiti Tulsa Oklahoma, Amerika Syarikat, Shamsul Azri, 55, turut menerima pendedahan dengan beberapa institusi antarabangsa antaranya Universiti Cambridge, United Kingdom dan European Institute of Business Administration (INSEAD).

Beliau yang mempunyai pengalaman selama 30 tahun dalam perkhidmatan awam, pernah bertugas di Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Pentadbiran Kerajaan Negeri. – Berita Harian

Exit mobile version